ISU:
Warna-warna yang terlibat dalam gerakan freemason (berkaitan Yahudi dan penyembahan syaitan) adalah hitam dan putih. Saya terbaca di blog mengatakan pakaian artis tempatan berwarna hitam dan putih menyerupai gerakan freemason. Bolehkah pihak tuan jelaskan hukum memakai pakaian berwarna hitam dan putih (contoh baju putih dan seluar hitam), kerana pada pemikiran saya yang rendah ilmu ini, ia mungkin dibolehkan kerana tidak semestinya kita menyerupai warna gerakan mereka, ia sudah digunakan secara meluas.
PENJELASAN:
Pada dasarnya, umat Islam tidak dilarang untuk memakai pakaian dengan warna tertentu, termasuklah hitam dan putih meskipun warna-warna tersebut dikaitkan dengan pergerakan tertentu seperti yang dinyatakan. Sebagaimana warna-warna yang lain, hitam dan putih merupakan warna-warna universal yang boleh dipilih sebagai warna pakaian oleh sesiapa atau mana-mana kumpulan. Apa yang dilarang atau diharamkan ialah tindakan mengenakan pakaian dengan warna-warna tersebut dengan niat meniru atau menyerupai anggota pergerakan tersebut. Sebagaimana jelas dinyatakan dalam sebuah Hadith yang masyhur daripada `Umar r.a., setiap amalan atau perbuatan bergantung sepenuhnya pada niat orang yang melakukannya.
Dengan kata-kata lain, niat merupakan teras bagi segala amalan dan sesuatu amalan dinilai serta dibalas berdasarkan niat pelakunya. Larangan terhadap niat dan kecenderungan yang disusuli perbuatan meniru atau menyerupai sesuatu kumpulan, dilarang kerana ia akan menjadikan seseorang bukan sahaja cenderung tetapi lebih-lebih lagi, sebahagian daripada mereka. Hal ini dijelaskan dalam Hadith daripada Ibn Majah, “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka ia sebahagian daripada mereka.”
Wallahu A'lam