ISU:
Saya sudah pakai pendakap gigi bagi struktur gigi saya yang tidak tersusun. Oleh itu saya ingin tahu hukum memakai pendakap gigi? ramai kawan-kawan saya katakan ianya adalah haram dan dilaknat oleh Allah. Apakah hukum memakai pendakap gigi?
PENJELASAN:
Memakai pendakap gigi berkaitan dengan perubahan kepada bentuk susunan gigi manusia.
Nabi Muhammad SAW melarang kikir (asah) dan menjarakkan gigi jika ia dibuat tanpa sebab. Ini kerana ia membawa maksud menukar ciptaan Allah SWT. Antara hadis berkenaan ialah;
Nabi pernah bersabda yang bermaksud: “Allah melaknat wanita yang membuat tattoo dan wanita yang telah memakainya, wanita yang mencabut bulu di wajahnya dan wanita yang telah melakukannya, dan wanita yang meluaskan jarak di antara gigi mereka atau orang lain bagi tujuan kecantikan, menukar apa yang Allah telah ciptakan” (Sahih Muslim).
"Rasulullah SAW melaknat perempuan yang mentatoo dan minta ditatoo, dan yang mengikir gigi dan yang minta dikikir giginya." (Riwayat Thabarani)
"Dilaknat perempuan-perempuan yang menjarangkan giginya supaya menjadi cantik, yang mengubah ciptaan Allah." (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Imam Nawawi menjelaskan meluaskan jarak gigi untuk tujuan kecantikan semata-mata adalah tidak harus. Kikir gigi pula membawa maksud merapi dan memendekkan gigi. Ia biasa dilakukan oleh golongan wanita dan tidak harus. Nabi SAW melaknat orang yang kikir giginya dan tukang kikir. Jika wanita dilarang maka lelaki turut menjadi tidak harus.
Dalam penggunaan pendakap gigi, jika ia digunakan untuk menyusun kedudukan gigi yang tidak teratur; untuk rawatan maka ia tidak termasuk dalam mengubah kejadian Allah SWT. Ia bertujuan membaiki susunan gigi berkenaan. Ini termasuk untuk merawat gigi selepas kemalangan atau sakit.
Antara fungsi pendakap gigi ialah memudahkan fungsi gigi itu sendiri yang mungkin bengkang-bengkok sehingga susah untuk membersihkannya sehingga boleh mengumpulkan bakteria, atau makanan mudah terlekat, dapat mengelakkan gigi bawah tergigit langit-langit yang boleh menyebabkan sakit mulut dan seumpamanya. Kesukaran untuk menghadam makanan dan gigi yang berlapis-lapis sehingga susah untuk membersihkannya lalu mendatangkan sakit gusi juga bau mulut, dan gigi jongang sehingga menimbulkan kerendahan maruah dalam diri manusia.
Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi menyebut: "Adapun kalau ternyata orang tersebut mempunyai cacat yang dianggap menjijikkan pandangan, atau kerana ada daging tambah yang boleh menimbulkan gangguan emosi, maka ketika itu adalah tidak berdosa orang untuk berubat selagi dengan tujuan menghilangkan kecacatan atau kesakitan yang boleh mengancam hidupnya. Kerana Allah tidak menjadikan agama buat kita ini dengan penuh kesukaran" (Kitab Al-Halal wal Haram Fil Islam )
Kesimpulannya memakai pendakap gigi adalah harus jika ia bertujuan membetulkan susunan gigi yang tidak elok yang termasuk untuk rawatan dan dapat memberi kelancaran kepada pertuturan serta dapat menjaga maruah diri. Jadi pengguna pendakap gigi perlu pasti tujuan mereka menggunakan pendakap gigi berkenaan adalah untuk keperluan bukan untuk menipu, mencantik-cantikkan lagi ciptaan yang sedia ada.
Wallahu a’lam