Quantcast
Channel: Portal Rasmi Fatwa Malaysia blogs
Viewing all articles
Browse latest Browse all 67

Gerakan Tangan Mudra

$
0
0
ISU:
 
Saya ingin mendapatkan kepastian apakah hukumnya bagi seseorang Muslim yang mengamalkan hand gestures "Mudras" dalam agama Hindu?
 
Saya telah bertanyakan kepada beberapa guru agama dan mendapat maklumbalas bahawa ianya adalah haram diamalkan oleh seseorang Muslim kerana ianya tergolong dalam "Tasyabbuh"..
 
Walaubagaimanapun, beberapa hari lepas terdapat percanggahan pendapat ini dengan golongan lain yang mengatakan ianya boleh diamalkan oleh Muslim.. Saya berharap dengan penjelasan dan bukti e-mail dari pihak anda dapat menyelesaikan kekeliruan ini..
 
Sekian saya dahului dengan ucapan ribuan terima kasih..
 
PENJELASAN:
 
Mudra ialah gerakan berbentuk bahasa isyarat atau kedudukan, gerakan tubuh yang bersifat simbolik. Ia merupakan gerakan ibadat dalam agama Hindu dan Buddha.   Ada beberapa mudra yang melibatkan seluruh anggota tubuh, tetapi kebanyakan hanya dilakukan dengan tangan dan jari. Mudra adalah gerak isyarat kerohanian dan pencetus kepada tenaga dan keaslian amalan rohani dalam tradisi agama Hindu.
 
Mudra juga adalah sebahagian dari  amalan yoga. Dalam yoga, mudra dilakukan bersamaan dengan pranayama (latihan pernafasan yoga), umumnya dilakukan sambil bersila dalam gaya Wajrasana, dilakukan untuk merangsangkan pelbagai bahagian tubuh yang berkaitan dengan latihan pernafasan dan mempengaruhi aliran ‘life force’ dalam tubuh.
 
Mudra telah digunakan di Timur sejak beribu tahun dahulu terutamanya dalam agama Buddha.  Patung Buddha biasanya menunjukkan beberapa kedudukan jari mudra.  Mudra digunakan dalam upacara keagamaan mereka dan ia masih lagi menjadi amalan sehingga kini sebagai salah satu cara untuk mencapai ‘ketenangan’ hidup.
 
Mudra juga digunakan dengan tujuan kesihatan seperti untuk menghilangkan lenguh-lenguh kesakitan di tubuh badan. Biasanya ia dilakukan melalui murda dalam Yoga.
 
Dengan kefahaman di atas maka perlakuan seorang Muslim dengan amalan mudra adalah tidak harus kerana ia merupakan amalan keagamaan agama Hindu dan Buddha.  Orang Islam dilarang untuk menyamai amalan pengikut agama lain.  Maksud menyerupai amalan orang kafir iaitu menyerupai dalam hal-hal yang menjadi kekhususan mereka. Ini termasuk mudra.  Apabila suatu perkara bukan menjadi suatu ciri khusus mereka, maka orang Islam disyariatkan untuk menyelisihi sifatnya saja
 
Larangan menyerupai orang kafir termaktub dalam hadis-hadis sahih antaranya ialah:
 
1. “Bukan termasuk golongan kami siapa yang menyerupai kaum selain kami. Janganlah kalian menyerupai Yahudi, juga Nasrani, kerana sungguh mereka kaum Yahudi memberi salam dengan isyarat jari jemari, dan kaum Nasrani memberi salam dengan isyarat telapak tangannya” (HR Tirmizi, hasan)
 
2. Dari Ibn Umar beliau berkata, “Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa menyerupai suatu kaum maka ia termasuk sebahagian dari mereka” (Hadis riwayat Abu Daud, hasan)
 
Antara hikmah lain larangan persamaan ini ialah jika ia dilakukan berulang-kali sehingga akhirnya ia akan membawa kepada menjadi perkara kebiasaan dan akan terikut-ikut dengan mereka.  Jadi adalah perlu dielakkan untuk mengikuti mereka walaupun dalam perkara yang sekecil-kecilnya kerana ia merupakan pintu untuk tunduk kepada mereka.  Dalam kaedah syariat, menutup pintu keburukan, saddud dzara’i merupakan satu kaedah yang perlu diaplikasi dalam hal ini.
 
Adapun gerakan jari dan tangan yang dilakukan untuk tujuan senaman, atau untuk apa-apa pergerakan lain, yang tidak ada kaitan dengan agama mereka, maka ia adalah diharuskan selagi tidak menyerupai dengan amalan keagamaam mereka.
 
Dalam perselisihan pandangan cendiakawan Islam dalam isu ini, maka pandangan yang tidak mengharuskan mudra adalah terlebih sahih dengan hujah-hujah di atas.  Salah satunya walaupun mudra dilakukan atas tujuan senaman dan kesihatan tetapi perbuatan itu mempunyai persamaan secara fizikal dengan murda yang menjadi amalan keagamaan agama Hindu dan Buddha.
 
Wallahu A'lam
 

Viewing all articles
Browse latest Browse all 67