ISU:
Apakah hukum jual beli binatang jallalah?
PENJELASAN:
Jallalah ialah haiwan yang diberikan najis sebagai makanannya. Terdapat hadis yang melarang daripada memakan haiwan jallalah dan meminum susunya. Daripada Ibn Umar r.a. katanya:
نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ أَكْلِ الجَلَّالَةِ وَأَلْبَانِهَا
Maksudnya:“Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam melarang daripada makan (haiwan) jallalah dan (minum) susunya” (Riwayat Abu Dawud, 3:351, no. 3785; al-Tirmizi, 4:270, no. 1824).
Dari sudut hukum fiqah, sekiranya berlaku perubahan pada daging dan susu haiwan jallalah disebabkan pemakanan najisnya, seperti perubahan pada baunya, maka ada kalangan ulama seperti mazhab Hanbali yang mengharamkan memakan daging jallalah. Majoriti ulama dari kalangan mazhab Hanafi, mazhab Maliki, dan mazhab Syafie berpandangan bahawa hukum memakan jallalah adalah makruh. Tetapi selepas haiwan jallalah dihentikan pemakanan najis dalam suatu tempoh, maka hukumnya kembali kepada asal iaitu harus.
Sebab dilarang memakan daging haiwan jallalah dan meminum susunya ialah kerana perubahan pada dagingnya yang dicemari oleh pemakanan yang bernajis (Al-Haytami, Tuhfatul Muhtaj, 9:386). Larangan tersebut bukanlah disebabkan daging itu sendiri, tetapi disebabkan faktor luaran yang memberi kesan kepada dagingnya (Al-Kasani, Badai’ al-Sanai’, 5:40).
Justeru, haiwan tersebut sekalipun masih berstatus jallalah, ia adalah kekal sebagai haiwan milik tuannya. Larangannya terhadap jallalah ialah larangan terhadap memakan dagingnya dan meminum susunya.
Justeru, haiwan yang masih berstatus jallalah harus dijual beli atau diberikan sebagai hadiah (hibah) kepada orang lain sebagaimana haiwan-haiwan lain (Al-Kasani, Badai’ al-Sanai’, 5:40). Cuma ada pandangan bahawa hukum menjual haiwan jallalah adalah makruh.
Wallahu A’lam.