ISU:
Apakah hukum melakukan trading forex secara bersendirian iaitu melalui matawang USD. Bolehkah saya meletakkan duit hasil forex itu ke dalam bank? Apa yang perlu dilakukan kepada duit haram?
PENJELASAN:
-
Hukum melakukan trading forex secara individu melalui platform elektronik telah diputuskan fatwa berkenaannya. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-98 yang bersidang pada 13-15 Februari 2012 telah membincangkan Hukum Perdagangan Pertukaran Matawang Asing oleh Individu Secara Lani (Individual Spot Forex) Melalui Platfom Elektronik. Muzakarah telah memutuskan bahawa perdagangan pertukaran mata wang asing (forex) oleh individu secara lani (individual spot forex) melalui platfom elektronik yang ada pada masa ini adalah haram kerana ia bercanggah dengan kehendak syarak dan juga tidak sah dari sisi undang-undang negara.
Muzakarah mendapati bahawa perdagangan pertukaran mata wang asing (forex) oleh individu secara lani (individual spot forex) melalui platfom elektronik mengandungi unsur-unsur seperti riba melalui pengenaan rollover interest, pensyaratan jual beli dalam pemberian hutang melalui leverage, qabd yang tidak jelas ketika transaksi pertukaran, penjualan mata wang yang tiada dalam pegangan dan spekulasi yang melibatkan perjudian.
Selaras dengan itu, umat Islam adalah dilarang daripada melibatkan diri dalam perdagangan mata wang seumpama ini.
-
Keuntungan daripada trading falam forex hendaklah dibersihkan iaitu dengan diberikan kepada saluran-saluran kebajikan atau disedekahkan kepada fakir miskin. Manakala modal boleh diiktiraf sebagai wang miliknya.
Wallahu A’lam.