ISU:
-
Ada fatwa berhubung dengan perkara di atas adalah haram kerana memberi laluan dan peluang kepada orang kafir di dalam menyembah berhala.menolong perkara seumpama ini merupakan maksiat yang amat besar. Kemushkilan, keputusan tersebut seolah-olah biarkan non Muslim pupus dari dunia.
-
Bagaimana pula seorang doktor Muslim bila ia terdapat patient non Muslim yang terlibat dalam kemalangan kerana mabuk membawa kereta. Tugas doktor ini untuk merawat atau membedah kerana nak selamatkan nyawanya. Mestikah doktor ini tingalkan dia mati? Sebab dia non Muslim, mabuk degan maksiat dan juga pergi menyembah ke tempat ibadah yang bukan muslim. Dan banyak lagi pemabuk, maksiat dan seumpamanya datang kepada doctor ini untuk dirawat atau bedah.
PENJELASAN:
Sesuatu fatwa itu harus dilihat secara khusus dalam konteks dan keadaan kes yang berlaku di kawasan tersebut. Dalam keadaan keadaan yang lain hukumnya kemungkinan berbeza.
Dalam konteks sebuah negara, hak orang-orang bukan Islam untuk mempercayai ajaran agama, beramal dengan ritual agama dan juga membina tempat ibadat mereka harus diberikan termasuk oleh pemerintah Muslim. Ini selari dengan ajaran Islam yang tidak boleh memaksa perkara berkaitan kepercayaan kepada penganut agama lain, berdasarkan ayat al-Qur’an, “Tiada paksaan dalam agama” (al-baqarah 256) dan juga “Untuk kamu agama kamu dan untukku agamaku” (Surah al-Kafirun:6). Begitu juga dengan tindakan Nabi Muhammad SAW yang memberi hak dan membenarkan penganut agama lain beribadat semasa perlambagaan Madinah diwujudkan.
Namun dalam konteks yang lebih khusus, sekiranya bilangan jumlah bukan Islam tersebut adalah kecil dalam sesuatu masyarakat, maka rumah ibadat tersebut mungkin tidak diperlukan. Maka kebenaran untuk membina rumah ibadat adalah bergantung kepada keperluan sesuatu keadaan dan tempat serta masyarakat bukan Islam yang ada di tempat tersebut.
Namun, pembinaan rumah ibadat tersebut haruslah didana oleh penganut agama tersebut sendiri dan bukannya dari orang Islam.
Persoalan ini tidak boleh disamakan dengan kes doktor yang merawat orang sakit yang bukan Islam. Ini kerana mereka yang sakit dalam kalangan orang bukan Islam harus diselamatkan atas dasar kemanusiaan. Ini dijamin oleh agama Islam misalnya dengan larangan untuk membunuh nyawa yang bukan dengan hak.
"Sesungguhnya barang siapa yang membunuh seorang manusia, bukan karena orang itu (membunuh) orang lain, atau bukan karena membuat kerusakan di muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya".[al-Mâidah/5:32]
"Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) kecuali dengan suatu (sebab) yang benar" [al-‘An’âm/6:151]
Malah menurut ajaran Islam, pemerintah Islam juga harus menjaga keselamatan orang-orang bukan Islam di bawah pemerintahan mereka.
Wallahu a’lam.