Saya ingin bertanya mengenai hukum bulu kucing yang tertanggal. Saya ada terbaca banyak pendapat yang mengatakan bulu kucing yang tertanggal dikira sebagai najis atas dasar kucing tergolong dalam kategori haiwan yang haram dimakan. Pendapat ini berdasarkan mazhab Shafie. Dan ada juga yang berpendapat bahawa bulu kucing yang tertanggal adalah bukan najis atas dasar kucing itu sendiri bukanlah haiwan yg najis.
Jadi soalan saya, adakah bulu kucing yang tertanggal adalah najis? Dan adakah tidak sah solat jika terdapat bulu kucing pada anggota badan ketika bersolat?
PENJELASAN:
Menurut ulama bermazhab Syafii, bulu yang tercabut daripada binatang yang haram dimakan, bulu itu adalah najis. Oleh kerana kucing adalah binatang yang haram dimakan, maka bulu yang tercabut semasa kucing itu masih hidup adalah najis.
Namun bulu kucing itu adalah najis yang dimaafkan kerana kucing adalah binatang peliharaan dan sukar untuk dikawal dan berkebarangkalian bulunya merata-rata dan sukar dikawal. Oleh itu jika badan, pakaian, atau tempat sembahyang terkena bulu kucing, maka solat yang dikerjakan adalah sah.
Kabshah bt Ka’ab ibn Malik melaporkan, "Pada suatu hari Abu Qatadah berada di dalam rumah, lalu saya menyediakan baginya sebekas air untuk dijadikan sebagai air wuduk. Kemudian datang seekor kucing dan ia menjilat air tersebut. Abu Qatadah membiarkan sahaja kucing itu menjilat air daripada bekas tersebut." Kabshah meneruskan kata-katanya, "Abu Qatadah perasan yang saya memandang kepadanya, lalu dia bertanya, 'Adakah kamu merasa pelik wahai anak saudaraku?' Saya menjawab, 'Ya’. Abu Qatadah menjelaskan, "Rasulullah saw pernah bersabda, 'Sesungguhnya kucing itu tidak najis kerana ia adalah binatang yang berkeliaran di sekeliling kamu.'" Hadis sahih direkod oleh Imam Abu Daud, Tirmizi, al-Nasa'i, dan Ibnu Majah.
Wallahu a'lam.