ISU:
Saya merawat ramai pesakit yang menghidap 'talasemia". Ini adalah penyakit genetik di mana pesakit perlu mendapat darah sekali dalam sebulan / tiga minggu seumur hidup. Sekiranya tidak mendapat transfusi darah, ia akan membahayakan nyawa pesakit Soalan: Adakah puasa pesakit batal sekiranya beliau mendapat transfusi darah semasa berpuasa ?
PENJELASAN:
Pemindahan dan pendermaan darah tidak membatalkan puasa. Transfusi darah kepada pesakit tidak termasuk dalam maksud perkara membatalkan puasa iaitu makan atau minum. Darah yang dimasukkan ke dalam tubuh badan tidak sama dengan konsep memasukkan makanan atau minuman ke dalam badan.
Oleh sebab itu, memindah atau memasukkan darah ke dalam badan tidak membatalkan puasa (Lihat: Ahmad Hatibah, Syarh kitab al-jami' li ahkam al-siyam wa a'mal Ramadhan). Panduan hukum mengenai masalah ini juga telah disiarkan dalam risalah Panduan Berpuasa Bagi Pesakit yang diterbitkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia yang telah disahkan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.
Wallahu a'lam.