ISU
Bolehkan al Quran al-Mumayyaz dari Indonesia digunakan di Malaysia?
PENJELASAN
Al-Quran merupakan kalam Allah SWT yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW untuk membawa rahmat sekelian alam. Membacanya merupakan satu ibadat dan penyampaiannya sehingga kini adalah secara mutawatir.
Allah SWT telah menjamin bahawa al-Quran akan dipelihara dari sebarang perubahan dan penyelewengan. Dengan itu masyarakat tidak perlu bimbang dengan kesahihan al-Quran. Allah SWT berfirman: Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan Al Quran, dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya (Al-Hijr : 9)
Al-Quran Mumaiyyaz merupakan sebuah bentuk al-Quran. Ia mengandungi informasi tambahan yang bertujuan untuk memberi kemudahan kepada masyarakat membaca dan mempelajari al-Quran dari pelbagai aspek seperti memahami makna dan mempelajari bacaan.
Antara ciri al-Quran Mumaiyaz ialah ia lengkap 30 juzuk dengan terjemahan, ada transliterasi rumi (sesuai untuk bantuan belajar), indeks doa dalam surah-surah, adab membaca al-Quran dan cerita ringkas di sebalik surah-surah dalam al-Quran dan lain-lain lagi.
Ciri-ciri ini dapat membantu masyarakat untuk membaca al-Quran, memahami maksud ayat al-Quran, dan sesuai untuk mereka yang berjinak-jinak mengenali al-Quran seperti muallaf dan kanak-kanak.
Bagi mereka yang mahir membaca al-Quran, maka sudah tentu mereka tidak lagi membaca transliterasi al-Quran untuk mengelak sebutan makhraj yang kurang tepat. Mereka ini boleh mendapat manfaat daripada terjemahan dan informasi lain yang terdapat dalam al-Quran al-Mumaiyyaz ini.
Bagi mereka yang baru mengenali al-Quran, maka transliterasi dapat membantu mengenali cara bacaan teks al-Quran dalam bahasa Arab. Ini mungkin dapat membantu memudahkan pembelajaran. Walaupun begitu sebarang proses belajar al-Quran perlu bertalaqqi dengan guru supaya sebarang kesalahan dapat ditegur secara langsung oleh guru al-Quran.
Jadi al-Quran al-Mumaiiyaz harus dijadikan rujukan selagi ia tidak ditemui apa-apa yang bercanggah dengan ajaran Islam. Sehinggakan kini pihak berkuasa di Malaysia seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), dan pihak berkuasa agama negeri tidak melarang edarannya dan penggunaannya di Malaysia.
Wallahu A'lam