ISU
Saya baru 2 tahun menceburi bidang pencetakkan baju ni. Saya nak tanya apa hukum sekiranya kita mencetak baju yang ada unsur keagamaan terutama selain agama Islam itu sendiri.
PENJELASAN:
Mencetak baju yang mempunyai unsur agama Islam untuk tujuan dijual adalah harus pada asalnya. Ia harus jika boleh membawa kepada menegakkan syiar agama Islam dalam diri manusia dan masyarakat. Walaupun begitu jika mencetak unsur agama Islam yang boleh membawa maksud sebaliknya iaitu merendahkan martabat dan kesucian Islam, maka ia tidak diharuskan seperti mencetak ayat al-Quran pada baju kerana dikhuatiri akan membawa kepada mencemar kesucian ayat al-Quran apabila si pemakai baju berkenaan masuk ke tempat bernajis seperti tandas dan seumpamanya.
Di dalam al-Quran, Allah melarang kita bermuamalah dan membantu dalam perkara dosa. Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 2, maksudnya: "Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan”.
Begitu juga mencetak baju yang mempunyai unsur agama lain adalah tidak harus kerana ia boleh meningkatkan syiar agama tersebut. Ia seolah-olah memberi pengiktirafan kepada agama berkenaan di dalam masyarakat. Jika mencetak lambang agama berkenaan membawa kepada promosi dan dakwah kepada agama berkenaan, maka ia tidak harus bahkan haram sama-sekali. Ia juga seolah-olah merendahkan status agama Islam yang sudah tentu lebih tinggi daripada agama lain. Ini berdasarkan kepada satu hadis nabi SAW yang menyatakan, maksudnya: “Islam itu tinggi dan tidak ada yang mengalahkan ketinggiannya.” (Hadis riwayat Ad-Daruquthni).
Apabila memakai baju cetakan lambang agama lain, walaupun apa alasannya, menunjukkan seolah-olah mengagungkan dan memuliakan lambang agama lain itu. Ia boleh menjurus kepada perlakuan syirik. Jelasnya, baju atau pakaian yang mempamerkan lambang agama lain dilihat seperti mengangkat martabat lambang itu lebih tinggi berbanding Islam.
“Setiap jual beli yang menolong kemaksiatan, hukumnya haram” (Lihat Imam Syaukani, Nailul Authar, [Beirut : Dar Ibn Hazm], 2000, hal. 1035-1036)
Berdasarkan kaedah itu, mencetak baju dengan lambang agama Islam yang boleh mencemarkan kesucian agama Islam, dan juga mencetak baju dengan lambang selain Islam pada masa kini adalah tidak harus kerana apabila ia dipakai oleh orang awam apalagi orang Islam maka ia mendatang fitnah kepada masyarakat dan seolah-olah memberi pengiktirafan kepada agama berkenaan serta menyebarkan syiar agama berkenaan kepada orang ramai.
Wallahu A'lam