Saya ada satu soalan iaitu kalau nama asal seorang muallaf itu ialah Christine, perlu atau tidak dia menukar nama bila memeluk Islam sebab nama tersebut dilihat mrmpunyai unsur agama Kristian. Setakat yang saya semak, perkataan Christ ialah terjemahan Greek untuk perkataan Hebrew 'Messiah'. Maksud 'Messiah' pula ialah yang disapu dengan minyak. Kalau pandangan saya, nama Christine tersebut tidak perlu ditukar kerana maksudnya yang tak bertentangan dengan Islam. Mohon penjelasan daripada pihak tuan.
PENJELASAN:
Dalam Islam sebaik-baik nama ialah yang menuruti nama-nama mereka yang disanjungi oleh agama seperti nama para Nabi, para sahabat atau ulama’. Atau nama dengan makna-makna yang baik. Dalam satu hadis yang diriwayat oleh Muslim, nama yang paling disukai oleh Allah adalah Abdullah dan juga Abdul Rahman.
Bagi seorang muallaf yang memeluk Islam, pada dasarnya tidak salah untuk mengekalkan nama asal apabila seseorang itu memeluk Islam. Namun sekiranya nama tersebut mempunyai konotasi yang tidak selari dengan Islam atau mempunyai kaitan dengan kepercayaan agama lain yang tidak sesuai dengan Islam , ia perlu ditukar kepada nama yang lebih sesuai.
Rasulullah sendiri pernah meminta seorang sahabat yang masuk Islam menukar namanya dari Abd al-Syams bin Sakhr kepada Abd Rahman bin Sakhr kerana nama Abd Syams bermaksud hamba kepada matahari.
Mengenai nama Christine, sebaiknya seorang muallaf yang mempunyai nama tersebut menukarkan nama tersebut ke nama Islam kerana nama tersebut amat berkait dengan nama keagamaan dalam Kristian. Istilah Christine adalah nama feminin kepada istilah ‘Christian’ dalam bahasa Latin dan Greek yang merujuk kepada Jesus Christ atau pengikutnya. Ia adalah terjemahan dari istilah Messiah dalam bahasa Hebrew bermaksud ‘penyelamat’ yang juga merujuk kepada Jesus pada fahaman agama Kristian.
Dalam sejarah, kebiasaannya nama Christine diberikan kepada seseorang wanita sebagai penghormatan kepada St. Christina of Tyre, seorang ahli agama Kristian abad ke-3 yang mati disiksa oleh bapanya yang beragama pagan kerana keteguhan kepercayaanya terhadap agama Kristian.
Wallahu a’lam