Quantcast
Channel: Portal Rasmi Fatwa Malaysia blogs
Viewing all articles
Browse latest Browse all 67

Hukum Memberikan Pinjaman Dengan Bayaran Balik Yang Ditetapkan

$
0
0
ISU:

Saya telah membuat pembiayaan peribadi secara Islamik daripada salah sebuah bank yang menawarkan perbankan Islam sebanyak RM60,000. Kemudian saya memberi pinjam wang tersebut kepada seorang sahabat untuk memulakan bisnes kuari pasir, dengan jumlah bayaran balik yang perlu dibayar kepada saya sebanyak RM4,000 sebulan selama 24 bulan. Adakah saya terlibat dalam riba bagi situasi diatas?
 
PENJELASAN:

Pembiayaan peribadi yang dibuat di bank-bank Islam atau bank-bank yang menawarkan perbankan Islam adalah berasaskan kepada kontrak-kontrak tertentu seperti kontrak Tawarruq (Commodity Murabahah). Ia termasuk dalam kategori jual beli, dan bukan pinjaman kewangan. Manakala pinjaman persendirian yang saudara berikan kepada sahabat saudara adalah satu bentuk pinjaman kewangan yang tertakluk di bawah hukum-hakam Qard.
 
Justeru sebarang bayaran tambahan yang dikenakan ke atas peminjam adalah riba yang diharamkan oleh syarak. Keharaman memberi pinjaman kewangan dengan pensyaratan bayaran tambahan adalah disepakati dalam Islam. Kaedah masyhur mengatakan, “Setiap pinjaman kewangan yang memberikan manfaat kepada pemberi pinjam, maka ia adalah riba”.
 
Kaedah ini disepakati oleh seluruh orang Islam. (Al-Shīrāzī, Al-Muhadhdhab, 5:452). Justeru dalam kes saudara, jika saudara memberi pinjam kepadanya sebanyak RM60,000 kemudian dia perlu membayarnya sebanyak RM4,000 sebulan selama 24 bulan, bererti jumlah yang perlu dibayarnya ialah RM96,000. Daripada jumlah tersebut, RM36,000 adalah tambahan kepada amaun pokok pinjaman, maka ia adalah riba. Kami nasihatkan kepada saudara agar tidak terlibat dengan urusan memberi pinjaman yang melibatkan riba kerana ia adalah dosa yang sangat besar dan diberi ancaman yang sangat dahsyat oleh Allah Taala dalam Al-Quran. Firman Allah Taala: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang-orang yang beriman”. “Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: Akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat) dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa”. (Surah Al-Baqarah: 278-279).
 

Wallahu A’lam.

 

Viewing all articles
Browse latest Browse all 67