Quantcast
Channel: Portal Rasmi Fatwa Malaysia blogs
Viewing all articles
Browse latest Browse all 67

Menikahi Wanita Mengandung Kerana Zina

$
0
0
ISU:
 
Saya tertarik dengan tajuk tersebut diatas,cuma mohon pencerahan yang lebih terperinci berkenaan hukum berkahwin dengan wanita yang mengandung anak luar nikah..walaupun lelaki yang berkahwin itu adalah lelaki yang sama..melihat kepada jawapan seorang imam sepertimana artikel yang saya baca bahawa perkahwinan tersebut dianggap berzina kerana pasangan tersebut berkahwin ketika si perempuan belum melahirkan anak..bermakna perempuan tersebut dalam tempoh mengandung..mohon pencerahan.
 
PENJELASAN:

Lelaki yang berzina dengan seseorang perempuan, kemudian perempuan itu mengandung, maka lelaki itu boleh menikahi perempuan tersebut, walaupun sedang mengandung. Firman Allah SWT dalam surah al-Nur ayat 3, "Lelaki yang berzina (lazimnya) tidak ingin berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik. Dan perempuan yang berzina itu pula (lazimnya) tidak ingin berkahwin dengannya melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik. Dan perkahwinan yang demikian itu terlarang kepada orang-orang yang beriman."
 
Imam Abu Daud merekodkan hadis: Marthad bin Abi Marthad al-Ghanawi pernah meminta izin daripada Nabi Muhammad saw untuk bernikah dengan seorang wanita yang dikatakan namanya ''Unaq' dan wanita itu pernah berzina di Mekah. Lalu Nabi membacakan ayat 3 surah al-Nur, 'Lelaki yang berzina (lazimnya) tidak ingin berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik. Dan perempuan yang berzina itu pula (lazimnya) tidak ingin berkahwin dengannya melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik. Dan perkahwinan yang demikian itu terlarang kepada orang-orang yang beriman'. Lalu baginda berkata, 'Kamu jangan menikahinya.' Ayat al-Quran dan hadis tersebut menunjukkan hukum menikahi penzina adalah dibenci oleh Syarak (makruh).

Menurut pendapat ulama bermazhab Syafii, wanita yang telah berzina dan dia masih belum mengandung hasil perzinaan tersebut, dibenarkan wanita itu dikahwini oleh mana-mana lelaki, iaitu hukumnya harus. Manakala jika dia sudah mengandung hasil daripada perzinaan tersebut, dibenarkan wanita itu dikahwini oleh mana-mana lelaki, tetapi hukumnya adalah makruh. Adalah lebih utama menunggu sehingga perempuan itu melahirkan anak tersebut (al-Nawawi, al-Majmu', jil 15, hlm. 398).
 
Semasa Umar bin al-Khattab menjadi khalifah, beliau pernah membicarakan kes pasangan yang berzina. Apabila kedua-duanya mengaku bersalah, mereka berdua dirotan dengan seratus kali sebatan. Umar mencadangkan agar mereka berdua dinikahkan, tetapi lelaki itu enggan. Imam Ibnu Hazm menjelaskan, keputusan Umar untuk menikahkan pasangan yang telah berzina itu dilakukan di hadapan para sahabat yang lain dan tiada siapa yang menentang cadangan tersebut. Ini menjadi bukti bahawa perempuan yang telah berzina boleh dinikahkan dan tidak disyaratkan dia perlu menunggu sehingga anak yang dikandungkannya itu lahir (al-Muhalla, jil. 10. hlm. 28).
 
Imam al-Nawawi menjelaskan, hujah yang membenarkan perempuan yang mengandung hasil zina boleh dikahwini oleh mana-mana lelaki adalah kerana kehamilan tersebut tidak diiktiraf oleh Syarak kerana ia hasil zina, maka ia tidak tertakluk kepada hukum 'iddah wanita mengandung yang diceraikan oleh suaminya; sama ada cerai hidup atau mati (al-Majmu', jil 16, hlm. 241).

Namun begitu, jika lelaki lain yang bukan berzina dengan perempuan itu ingin mengahwininya, perlu difikirkan agar tidak bercampur dua benih dalam rahim perempuan itu. Kerana Nabi Muhammad saw bersabda, "Tidaklah halal bagi sesiapa yang beriman dengan Allah dan RasulNya, untuk menyiram benih kepada tanaman lelaki lain (iaitu jika wanita sedang mengandungkan benih lelaki lain)" Hadis hasan direkodkan oleh Imam Abu Daud dan al-Tirmidzi. Ini bagi memastikan anak yang bakal menjadi penyambung keturunan itu nanti tidak diragui kesahan pertalian nasabnya. Oleh sebab itu, Imam Abu Hanifah berpendapat, perkahwinan tersebut adalah sah, tetapi lelaki itu tidak boleh menyetubuhi isterinya yang sedang mengandungkan anak luar nikah benih lelaki lain, sehingga selepas isteri itu melahirkan anak tersebut (al-Fatawa al-Hindiyah, jil. 1, hlm. 280).

Contoh fatwa di Malaysia berkaitan isu ini adalah Fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu bertarikh 5 Disember 1995: "Apakah hukum orang yang berkahwin dengan perempuan yang mengandung, umur kandungannya ialah 6 bulan, apakah sah atau tidak perkahwinan tersebut dalam Islam.Hasil daripada perkahwinan tersebut anaknya lahir lebih kurang 3 bulan sahaja selepas mereka berkahwin. Kepada siapakah anak itu hendak dibinkan. Keputusan: Jawatankuasa Fatwa membuat keputusan bahawa: 1) Perkahwinan tersebut adalah sah dari segi syara' sekiranya nikah itu menepati hukum syara' sekalipun perempuan itu sedang mengandung. Walau bagaimanapun perkahwinan seperti itu tidak digalakkan. 2) Anak itu dibinkan kepada ibunya atau kepada Abdullah, bukan ayahnya."

Manakala penasaban anak tak sah taraf kepada lelaki yang berzina dengan ibu anak itu adalah dilarang. A'isyah melaporkan, Nabi saw bersabda: "Nasab anak itu adalah untuk bapa yang sah, manakala penzina dihalang daripada dinasabkan anak kepadanya." Hadis direkod oleh Imam al-Bukhari. Hadis dengan jelas menyatakan bahawa nasab anak hanyalah untuk bapa; iaitu lelaki yang bernikah secara sah dengan ibu anak tersebut dan anak itu adalah hasil percantuman benih antara pasangan tersebut. Manakala Nabi menyatakan, penzina dihalang daripada dinasabkan anak kepadanya (Lihat: Ibn Muflih, Abu 'Abd Allah Muhammad, al-Furu', Beirut: 'Alam al-Kutub, 1985, jil. 5, hlm. 526; al-Jassas, Abu Bakr Ahmad bin 'Ali al-Razi, Ahkam al-Qur'an, sunt. 'Abd al-Salam Syahin, Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyah, 1994, jil. 3, hlm. 396; Husayn, Ahkam walad al-zina, hlm. 65-66).

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-57 yang bersidang pada 10 Jun 2003 telah membincangkan mengenai Anak Tak Sah Taraf. Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:

a. Anak Tak Sah Taraf ialah:
 
  1. Anak yang dilahirkan di luar nikah; sama ada akibat zina atau rogol dan dia bukan daripada persetubuhan syubhah atau bukan daripada anak perhambaan.
     
  2. Anak dilahirkan kurang dari 6 bulan 2 lahzah (saat) mengikut Takwim Qamariah daripada tarikh tamkin (setubuh).

b. Anak tak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya atau kepada sesiapa yang mengaku menjadi bapa kepada anak tersebut. Oleh itu mereka tidak boleh pusaka mempusakai, tidak menjadi mahram dan tidak boleh menjadi wali.

Namun begitu, jika anak tak sah taraf itu adalah perempuan, lalu ibunya berkahwin dengan lelaki yang ibu itu berzina dengannya, kemudian ibu itu telah disetubuhi oleh suaminya yang sah tersebut, maka status anak itu adalah menjadi mahram kepada suami ibunya. Hubungan anak itu dengan lelaki tersebut adalah hubungan bapa tiri.

Firman Allah SWT dalam al-Quran; surah al-Nisa’ ayat 22 hingga 24, “Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan yang telah diperisterikan oleh bapa kamu, kecuali apa yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya perbuatan itu adalah satu perkara yang keji dan dibenci oleh Allah, serta menjadi seburuk-buruk jalan. Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan berikut; ibu-ibu kamu, anak-anak perempuan kamu, adik beradik kamu, adik beradik bapa kamu, adik beradik ibu kamu, anak-anak perempuan kepada adik beradik lelaki kamu, anak-anak perempuan kepada adik beradik perempuan kamu, ibu-ibu kamu yang menyusukan kamu, adik beradik perempuan sesusuan, ibu isteri kamu, anak-anak tiri yang di bawah jagaan kamu iaitu anak kepada isteri kamu yang kamu sudah setubuhinya. Tetapi jika kamu masih belum menyetubuhi isteri kamu itu dan kemudian kamu menceraikannya, maka kamu boleh berkahwin dengan anak perempuan isteri kamu itu. Dan haram juga kamu berkahwin dengan bekas isteri anak lelaki kamu. Dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali untuk menjadi isteri-isteri kamu, kecuali kamu sudah menceraikan isteri kamu. Sesungguhnya Allah itu maha pengampun lagi maha mengasihani. Dan diharamkan juga kamu berkahwin dengan isteri orang lain, kecuali hamba sahaya yang kamu miliki. Semua yang tersebut itu adalah satu ketetapan hukum Allah yang diwajibkan atas kamu. Dan sebaliknya dihalalkan bagi kamu perempuan-perempuan yang lain daripada yang tersebut itu, untuk kamu mencari isteri dengan harta kamu secara bernikah, bukan secara berzina.”
 
Wallahua'lam
 

Viewing all articles
Browse latest Browse all 67