Quantcast
Channel: Portal Rasmi Fatwa Malaysia blogs
Viewing all 67 articles
Browse latest View live

Memasak Bukan Tanggungjawab Isteri

$
0
0
ISU:

Saya mempunyai beberapa kemusykilan berkenaan tanggungjawab suami dan isteri setelah pernikahan. 
         
1) Menurut apa yang saya faham, tanggungjawab menyediakan nafkah seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal adalah tanggungjawab suami.  Kebanyakan suami yang mengikut adat di timur menyediakan bahan mentah yang tidak sedia dimakan kemudian menyuruh atau mengharapkan isteri memasak. Lebih menyukarkan isteri apabila suami hanya memberi wang dan membiarkan isteri membeli dan memasak makanan. Semua urusan tersebut memerlukan tenaga dan masa yang banyak. Pada pendapat saya, bahan mentah yang belum dimasak masih belum boleh dianggap makanan. Bukankah itu sama seperti suami tidak menjalankan tanggungjawab menyediakan nafkah makanan?

2) Saya berpandangan bahawa suami sepatutnya membeli makanan yang siap dimasak atau membeli bahan mentah yang kemudiannya dimasak oleh suami untuk keluarga. Tambahan pula sekiranya isteri berasa terbeban dengan tugas memasak tersebut. Adakah memasak merupakan tanggungjawab mutlak seorang isteri di mana sekiranya isteri menolak untuk memasak dikira derhaka dan berhak ditalakkan?

3) Hal ini adalah kerana, saya memandang tanggungjawab isteri adalah untuk taat kepada suami. Adakah perlu isteri taat apabila suami menyuruh isteri memasak ( sekiranya benar memasak bukan tanggungjawab isteri sebaliknya tanggungjawab suami)? Saya pernah membaca bahawa memasak, mengemas rumah adalah pilihan yang dilakukan isteri atas budi bicaranya dan bukan tanggungjawab mutlak. Mohon pencerahan.

4) Sekiranya benar bahawa menyediakan makanan siap dimakan adalah tanggungjawab suami dan memasak bukan tanggungjawab mutlak isteri, apakah hukum suami memaksa isteri memasak dan marah apabila isteri tidak memasak? (mohon abaikan soalan ini sekiranya kenyataan pertama dalam soalan ini adalah salah bermakna isteri wajib memasak untuk suami)

5) Apakah hukum sekiranya isteri tidak melakukan kerja rumah (memasak, mengemas rumah, dan sebagainya) kerana letih bekerja? Kebanyakan isteri tidak dapat melakukan kerja rumah di samping melayan kehendak biologi suami dan mendidik anak dalam satu tempoh yang sama dan panjang. Wanita juga sebagai muslim wajib menuntut ilmu yang memerlukan tenaga dan masa. Ditambah pula sekiranya suami tidak mampu menyampaikan ilmu kepada isteri, wanita berhak keluar mencari ilmu. Mungkin ada wanita yang mampu melakukan semua itu dalam masa yang sama tetapi jumlah mereka sangat sedikit. Hal ini demikian kerana setiap individu mempunyai tahap kekuatan fizikal, mental, emosi dan rohani yang berbeza. Saya sangat jelas bahawa keluar mencari nafkah bukanlah tanggungjawab isteri. Namun, dalam keadaan ekonomi yang sempit, di mana sekiranya isteri tidak menambah pendapatan suami, maka anak-anak akan hidup kesempitan sehingga tidak mendapat hak mereka seperti pendidikan dan kesihatan, isteri terpaksa membantu suami. Selain itu, sesetengah pekerjaan yang sememangnya memerlukan tenaga pekerja wanita sebagai contoh doktor sakit puan menyebabkan wanita berasa bertanggungjawab terhadap umat. Sekiranya mereka berhenti bekerja, kebanyakan isteri bersalin akan dirawat oleh doktor lelaki. Hal ini jelas menjadi isu dalam negara kita. Di samping itu, kebanyakan wanita tetap bekerja atas sebab tidak mahu mengecewakan ibu bapa yang telah menghabiskan banyak tenaga, masa dan wang demi membiayai pengajian mereka untuk menjadikan siapa mereka hari ini. Wanita tersebut boleh jadi seorang doktor, jurutera, akauntan dan sebagainya. Memang benar bahawa keutamaan tanggungjawab isteri adalah kepada suami dan anak-anak, tetapi hal berkaitan kekeliruan yang saya ketengahkan menyebabkan wanita berfikir berkali-kali sebelum bersetuju untuk berkahwin. Hasilnya, ramai 'anak dara tua' yang takut dengan perkahwinan. Sedangkan pernikahan sangat dianjurkan supaya dapat meramaikan umat Rasulullah agar mereka mampu menegakkan syiar Islam di muka bumi ini. Malah umat sangat memerlukan golongan professional dan bijak pandai dalam bidang akademik dan agama untuk mendidik generasi Muslim kini.

Setakat itu sahaja soalan saya buat masa ini. Mohon pencerahan buat diri saya yang sememangnya masih kurang ilmu. Maaf sekiranya pihak tuan berpendapat bahawa saya bertanyakan soalan ini kerana malas atau takut dengan tanggungjawab seorang isteri. Namun sebenarnya saya hanya mahukan kepastian atas kemusykilan saya.

Saya yakin bahawa Islam adalah agama syumul dan universal. Islam tidak menyusahkan namun kita tidak boleh ambil mudah dengan hukum hakam Islam. Saya melihat ibu dan saudara mara wanita yang berasa penat dan terseksa melayan kehendak suami yang mahu dilayan setelah penat bekerja. Hal ini atas alasan atau kenyataan bahawa mereka penat mencari rezeki. Sedangkan mereka seolah-olah lupa bahawa isteri mereka juga penat bekerja menambah pendapatan selain perlu melayan keperluan biologi suami dan mendidik anak-anak yang sememangnya memerlukan kekuatan mental, fizikal, emosi dan rohani.

Mereka mengatakan bahawa isteri perlu mengikut jejak isteri-isteri Rasulullah melayan suami. Saya sangat bersetuju dalam hal ini. Namun, saya berpendapat bahawa suami telah terlepas pandang bahawa pernah Rasulullah pulang dan tiada makanan di rumah. Baginda tidak marahkan isteri sebaliknya mengatakan kepada isteri bahawa Baginda berpuasa pada hari tersebut. Kisah ini menunjukkan bahawa memarahi isteri kerana tidak menyediakan makanan tidak pernah dilakukan Rasulullah.

Suami hari ini juga membandingkan isteri mereka dengan isteri Rasulullah tetapi seolah-olah lupa membandingkan diri mereka dengan Baginda. Rasulullah dilayan mesra oleh isteri setelah penat berdakwah dan berperang menegakkan Islam sedangkan jumlah suami hari ini yang melakukan apa yang Baginda telah lakukan amat sedikit. Ya, suami keluar bekerja, wanita juga bekerja. Justeru, suami juga seharusnya meringankan beban isteri sebagaimana isteri meringankan beban suami melengkapkan keperluan hidup.

Maaf sekali lagi sekiranya soalan saya turut disertakan dengan penjelasan yang mungkin kurang bernas bagi pihak tuan. Saya cuma hairan mengapa tiada seorang pun yang menyatakan hal ini sedangkan inilah realiti yang berlaku dalam masyarakat kita. Apabila isteri terlalu letih melakukan sesuatu yang bukan tanggungjawab dan di luar batas kemampuan mereka, pelbagai masalah umat timbul. Kerana wanita juga adalah Muslim yang mempunyai tanggungjawab menjadi khalifah atas muka bumi dan tidak kurang penting dalam berkhidmat menegakkan syiar Islam.

Isteri tidak mampu memenuhi keperluan biologi suami akibat terlalu letih menguruskan rumah tangga mengakibatkan zina dan perceraian. Seterusnya anak-anak terpaksa menanggung tekanan emosi malah ada yang didera oleh ibu atau bapa yang tertekan dengan masalah rumah tangga mereka.Rosaklah pembangunan anak tersebut dan lahir pula anak yang tidak sah taraf.

Isteri yang kepenatan juga tidak mampu memberi perhatian kepada anak-anak. Hasilnya, anak-anak yang sepatutnya menjadi tonggak umat berpeleseran di kedai mamak, disko selain merempit di jalan raya. Rosaknya anak-anak muda kita menjurus kepada kerosakan umat Islam yang lebih besar. Jauh sekali untuk membicarakan soal menyelamatkan Aqsa, membela Rohingya dan sebagainya.

Terlalu banyak masalah umat kita yang bukan sahaja perlu difikirkan malah perlu diselesaikan. Saya percaya bahawa setiap penyelesaian perlu bermula dengan penambahbaikan diri sendiri diikuti institusi kekeluargaan, masyarakat seterusnya negara atau kerajaan.

Segala usaha pihak tuan saya dahului dengan sekalung penghargaan. Sekian, terima kasih

PENJELASAN:


1) Tanggungjawab suami memberikan nafkah kepada isteri iaitu makanan, pakaian dan tempat tinggal. Makanan yang dimaksudkan ialah makanan yang boleh terus dimakan oleh isteri. Bukan menjadi tanggungjawab isteri untuk memasak. Namun, sekiranya suami meminta isteri memasak dan ia tidak bercanggah dengan mana-mana hukum Islam, maka isteri perlu mentaati permintaan suami.

2) Isteri yang enggan memasak tidak dianggap derhaka (nusyuz) dan tidak boleh menjadi sebab untuk diceraikan oleh suami.

3) Walaupun memasak atau mengemas rumah bukan tanggungjawab isteri, namun sekiranya suami meminta isteri melakukannya dan ia tidak bercanggah dengan mana-mana hukum Islam, maka isteri perlu mentaati permintaan suami.

4) Suami tidak boleh memaksa isteri memasak dan tidak boleh memarahinya sekiranya isteri tidak mahu memasak.

5) Isteri yang tidak mampu melakukan kerja rumah (memasak, mengemas rumah, dan sebagainya) kerana letih bekerja, perlu berbincang secara harmoni dengan suami. Menjadi tanggungjawab suami, untuk menyediakan pembantu rumah bagi melakukan kerja rumah, sekiranya isteri memintanya.
 
Penjelasan:

Isteri biasanya dibebankan dengan kerja-kerja rumah seperti mengemas rumah, memasak, membasuh baju, dan sebagainya. Perkara ini sudah menjadi kebiasaan dalam masyarakat kita. Sehingga apabila ada isteri yang tidak mahu melakukan kerja-kerja tersebut dianggap sebagai ‘nusyuz’ oleh suami. Namun persoalan yang timbul, adakah isteri diwajibkan oleh Syarak untuk melakukan kerja-kerja tersebut? Bolehkah suami menuntut di mahkamah untuk menghukum isteri yang tidak mahu melakukannya?

Menurut ulamak bermazhab Syafii, isteri tidak wajib melakukan perkara-perkara tersebut. Imam Abu Ishak asy-Syirazi; seorang ulamak bermazhab Syafii menjelaskan dalam bukunya ‘al-Muhazzab’, “Isteri tidak wajib melakukan perkara berikut untuk suaminya, seperti membuat roti, mengisar tepung, memasak, membasuh pakaian dan sebagainya. Ini disebabkan perkara yang diwajibkan dalam akad nikah ialah isteri melayan suaminya, dan tidak diwajibkan melakukan perkara yang lain.”

Syeikh al-Muti’i; seorang ulamak kontemporari bermazhab Syafii, menjelaskan dalam buku ‘Takmilah al-majmu’ syarah al-muhazzab’, “Isteri tidak wajib berkhidmat untuk suami atau rumah, kerana perkara yang diwajibkan dalam akad nikah ialah isteri melayan suami. Namun begitu, kerja-kerja rumah yang dilakukan oleh isteri ada sandaran daripada Syarak, sebagaimana hadis yang dilaporkan oleh Jabir dan direkodkan oleh Imam Ahmad, al-Bukhari dan Muslim. Jabir melaporkan, ‘Rasulullah bertanya kepada saya, ‘Adakah saudara sudah berkahwin?’ Saya menjawab, ‘Ya.’ Baginda bertanya lagi, ‘Saudara berkahwin dengan gadis atau janda?’ Saya menjawab, ‘Dengan janda.’ Baginda berkata lagi, ‘Kenapa saudara tidak berkahwin dengan gadis agar saudara boleh berseronok dengannya dan dia boleh berseronok dengan saudara?’ Saya menerangkan, ‘Wahai Utusan Allah. Ayah saya terbunuh dalam Perang Uhud. Dia meninggalkan sembilan orang anak perempuan. Saya tidak suka jika isteri saya gadis muda seusia adik beradik saya itu. Tetapi saya perlukan seorang isteri yang dapat menguruskan kehidupan mereka.’ Baginda berkata, ‘Saudara melakukan perkara yang betul.’ Hadis ini menjelaskan, jika seseorang itu berkahwin agar isterinya itu dapat membantu menguruskan hal ehwal bapa si suami, adik beradik atau ahli keluarga suami yang lain, maka ia tidak menjadi kesalahan, walaupun ia tidak diwajibkan atas isteri tersebut. Ia dibenarkan jika adat setempat biasa dengan perbuatan tersebut. Oleh sebab itu, Nabi Muhammad tidak menghalang perbuatan Jabir itu.”

Oleh itu, menurut ulamak bermazhab Syafii, urusan rumahtangga selain melayan suami, tidak diwajibkan atas seseorang isteri.  Ia hanyalah satu galakan untuk dilakukan oleh seseorang isteri. Ini bermakna, suami tidak boleh memaksa isteri untuk melakukan kerja-kerja rumah seperti memasak, membasuh, mengemas dan sebagainya. Isteri pula tidak boleh dianggap nusyuz jika tidak mentaati arahan suami untuk melakukan kerja-kerja tersebut. Begitu juga, pihak mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk menuntut isteri melakukan perkara tersebut, jika kes itu diadukan oleh suami kepada Hakim.

Bahkan Islam membenarkan isteri menuntut kepada suami agar menyediakan pembantu rumah untuk melakukan kerja-kerja rumah. Hal ini merujuk kepada kebiasaan isteri semasa belum berkahwin. Jika isteri berasal daripada keluarga berada yang biasa mempunyai pembantu rumah dan si isteri tidak biasa melakukan kerja-kerja rumah, maka suami bertanggungjawab menyediakan pembantu rumah untuk isterinya. Para ulamak menyatakan, menyediakan pembantu rumah adalah termasuk dalam nafkah yang wajib diberikan oleh suami kepada isteri.

Walaupun Islam tidak mewajibkan isteri melakukan kerja-kerja rumah dan berhak menuntut seorang pembantu rumah daripada suami, namun Islam amat menggalakkan agar isteri dengan rela dan ikhlas melakukan kerja-kerja tersebut. Pada suatu hari, Saidatina Fatimah berjumpa dengan ayahnya iaitu Nabi Muhammad s.a.w. Fatimah mengadu kepada ayahnya kerana terlalu penat melakukan kerja-kerja rumah. Beliau menunjukkan tangannya yang pecah-pecah kerana mengisar tepung. Beliau meminta daripada ayahnya agar diberikan kepadanya seorang wanita yang ditawan ketika perang untuk dijadikan pembantu rumah. Nabi Muhammad berkata kepada anaknya, “Mahukah kamu, ayah tunjukkan satu amalan yang lebih baik daripada mendapat seorang pembantu rumah? Ketika kamu hendak tidur, maka bacalah tasbih (subhanallah) tiga puluh tiga kali. Bacalah tahmid kepada Allah (Alhamdulillah) tiga puluh tiga kali. Bacalah takbir kepada Allah (Allahuakbar) tiga puluh tiga kali.” Hadis sahih direkodkan oleh Imam al-Bukhari.

Hadis ini secara jelasnya menunjukkan, alangkah baiknya jika para isteri dengan rela hati melakukan kerja-kerja rumah untuk suami mereka. Walaupun penat melakukan kerja-kerja tersebut, namun pahala yang disediakan oleh Allah untuk para isteri amat besar. Dalam hadis tersebut Nabi Muhammad s.a.w. memberikan tips kepada isteri yang seharian penat melakukan kerja-kerja rumah untuk berzikir sebelum tidur. Dengan mengamalkan zikir-zikir tersebut dengan penuh khusyuk kepada Allah, akan menghilangkan segala kepenatan.

Imam at-Tobari menjelaskan maksud kisah Fatimah itu dalam buku tafsirnya, “Hadis tersebut menerangkan, seseorang isteri yang mampu melakukan kerja-kerja rumah seperti membuat roti, menguli tepung atau sebagainya, maka tidak wajib untuk suami menyediakan pembantu rumah.”

Asma’ binti Abu Bakar; kakak ipar Nabi Muhammad melaporkan, “Zubair berkahwin dengan saya dalam keadaan beliau tidak mempunyai apa-apa harta atas muka bumi ini. Juga tidak memiliki walau seorang pembantu. Yang beliau miliki hanyalah beberapa ekor kuda. Kerja saya ialah memberI makan kuda-kudanya, mengambil air di perigi, dan membersihkan najis-najis kuda. Saya tidak pandai memasak roti. Jiran-jiran saya daripada kalangan wanita Ansar yang membantu saya membuat roti. Mereka adalah wanita yang baik-baik. Saya juga biasa mengangkut bakul berisi biji buah-buahan di atas kepala saya untuk makanan kuda.Biji buah-buahan itu saya ambil daripada kebun yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w. kepada Zubair. Pada suatu hari, saya terserempak dengan Rasulullah s.a.w. Ketika itu saya sedang menjunjung bakul yang berisi biji buah-buahan. Bersama-sama Rasulullah pada ketika itu ada beberapa orang lelaki Ansar. Rasulullah s.a.w. menyapa saya, ‘Alahai kasihannya.’ Lalu baginda mengajak saya menaiki binatang tunggangan bersama baginda. Saya berasa malu untuk berjalan bersama-sama dengan lelaki. Saya teringat kepada Zubair dan sifat cemburunya. Beliau memang seorang yang sangat kuat cemburunya. Rasulullah tahu bahawa saya merasa malu untuk turut sama dengan baginda. Baginda pun meneruskan perjalanan. Setiba di rumah, saya menceritakan kepada suami saya; Zubair, ‘Tadi saya bertemu dengan Rasulullah. Di atas kepala saya, saya sedang menjunjung bakul yang berisi biji buah-buahan. Bersama-sama dengan baginda ada beberapa orang lelaki Ansar. Baginda mempelawa saya untuk menunggang bersama-sama dengannya. Saya merasa malu dan saya pun teringat sifat cemburu abang itu.’ Zubair menjawab, ‘Demi Allah. Sebenarnya abang lebih kasihankan dinda menjunjung bakul berisi biji buah-buahan itu berbanding cemburu abang jika dinda menumpang tunggangan Nabi Muhammad itu.’ Asma’ menjelaskan lagi, ‘Begitulah rutin hidup saya, sehinggalah ayah saya; Abu Bakar, menghadiahkan kepada saya seorang pembantu untuk menguruskan kuda-kuda milik suami saya itu. Pemberian ayah saya itu ibarat telah memerdekakan saya daripada kerja-kerja tersebut.’” Laporan sahih direkodkan oleh Imam Bukhari.
 
Wallahua'lam
 
 

Baju Bercetak Unsur Keagamaan

$
0
0
 
ISU
 
Saya baru 2 tahun menceburi bidang pencetakkan baju ni. Saya nak tanya apa hukum sekiranya kita mencetak baju yang ada unsur keagamaan terutama selain agama Islam itu sendiri.
 
PENJELASAN:
 
Mencetak baju yang mempunyai unsur agama Islam untuk tujuan dijual adalah harus pada asalnya.  Ia harus jika boleh membawa kepada menegakkan syiar agama Islam dalam diri manusia dan masyarakat.  Walaupun begitu jika mencetak unsur agama Islam yang boleh membawa maksud sebaliknya iaitu merendahkan martabat dan kesucian Islam, maka ia tidak diharuskan seperti mencetak ayat al-Quran pada baju kerana dikhuatiri akan membawa kepada mencemar kesucian ayat al-Quran apabila si pemakai baju berkenaan masuk ke tempat bernajis seperti tandas dan seumpamanya.
 
Di dalam al-Quran, Allah melarang kita bermuamalah dan membantu dalam perkara dosa.  Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 2, maksudnya: "Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan”.
 
Begitu juga mencetak baju yang mempunyai unsur agama lain adalah tidak harus kerana ia boleh meningkatkan syiar agama tersebut.  Ia seolah-olah memberi pengiktirafan kepada agama berkenaan di dalam masyarakat.  Jika mencetak lambang agama berkenaan membawa kepada promosi dan dakwah kepada agama berkenaan, maka ia tidak harus bahkan haram sama-sekali.  Ia juga seolah-olah merendahkan status agama Islam yang sudah tentu lebih tinggi daripada agama lain.  Ini berdasarkan kepada satu hadis nabi SAW yang menyatakan, maksudnya: “Islam itu tinggi dan tidak ada yang mengalahkan ketinggiannya.” (Hadis riwayat Ad-Daruquthni).
 
Apabila memakai baju cetakan lambang agama lain, walaupun apa alasannya, menunjukkan seolah-olah mengagungkan dan memuliakan lambang agama lain itu. Ia boleh menjurus kepada perlakuan syirik. Jelasnya, baju atau pakaian yang mempamerkan lambang agama lain dilihat seperti mengangkat martabat lambang itu lebih tinggi berbanding Islam.
 
“Setiap jual beli yang menolong kemaksiatan, hukumnya haram” (Lihat Imam Syaukani, Nailul Authar, [Beirut : Dar Ibn Hazm], 2000, hal. 1035-1036)
 
Berdasarkan kaedah itu, mencetak baju dengan lambang agama Islam yang boleh mencemarkan kesucian agama Islam, dan juga mencetak baju dengan lambang selain Islam pada masa kini adalah tidak harus kerana apabila ia dipakai oleh orang awam apalagi orang Islam maka ia mendatang fitnah kepada masyarakat dan seolah-olah memberi pengiktirafan kepada agama berkenaan serta menyebarkan syiar agama berkenaan kepada orang ramai.
 
 
Wallahu A'lam
 

Al-Quran Al-Mumayyaz

$
0
0
 
ISU
 
Bolehkan al Quran al-Mumayyaz dari Indonesia digunakan di Malaysia?
 
 
PENJELASAN
 
Al-Quran merupakan kalam Allah SWT yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW untuk membawa rahmat sekelian alam.  Membacanya merupakan satu ibadat dan penyampaiannya sehingga kini adalah secara mutawatir. 
 
Allah SWT telah menjamin bahawa al-Quran akan dipelihara dari sebarang perubahan dan penyelewengan.  Dengan itu masyarakat tidak perlu bimbang dengan kesahihan al-Quran. Allah SWT berfirman: Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan Al Quran, dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya (Al-Hijr : 9)
 
Al-Quran Mumaiyyaz merupakan sebuah bentuk al-Quran. Ia mengandungi informasi tambahan yang bertujuan untuk memberi kemudahan kepada masyarakat membaca dan mempelajari al-Quran dari pelbagai aspek seperti memahami makna dan mempelajari bacaan. 
 
Antara ciri al-Quran Mumaiyaz ialah ia lengkap 30 juzuk dengan terjemahan, ada transliterasi rumi (sesuai untuk bantuan belajar), indeks doa dalam surah-surah, adab membaca al-Quran dan cerita ringkas di sebalik surah-surah dalam al-Quran dan lain-lain lagi.
 
Ciri-ciri ini dapat membantu masyarakat untuk membaca al-Quran, memahami maksud ayat al-Quran, dan sesuai untuk mereka yang berjinak-jinak mengenali al-Quran seperti muallaf dan kanak-kanak.
 
Bagi mereka yang mahir membaca al-Quran, maka sudah tentu mereka tidak lagi membaca transliterasi al-Quran untuk mengelak sebutan makhraj yang kurang tepat.  Mereka ini boleh mendapat manfaat daripada terjemahan dan informasi lain yang terdapat dalam al-Quran al-Mumaiyyaz ini.
 
Bagi mereka yang baru mengenali al-Quran, maka transliterasi dapat membantu mengenali cara bacaan teks al-Quran dalam bahasa Arab.  Ini mungkin dapat membantu memudahkan pembelajaran.  Walaupun begitu sebarang proses belajar al-Quran perlu bertalaqqi dengan guru supaya sebarang kesalahan dapat ditegur secara langsung oleh guru al-Quran.
 
Jadi al-Quran al-Mumaiiyaz harus dijadikan rujukan selagi ia tidak ditemui apa-apa yang bercanggah dengan ajaran Islam.  Sehinggakan kini pihak berkuasa di Malaysia seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), dan pihak berkuasa agama negeri tidak melarang edarannya  dan penggunaannya di Malaysia.
 
Wallahu A'lam
 
 

Ajaran Ilmu Makrifat Shaari Mohd Yusof

$
0
0
 
ISU:
 
Saudara saya ada menuntut ilmu makrifat ini. Dia menyatakan fatwa ini telah diperjelaskan dan tidak sesat setelah Tuan Haji Shaari memperjelaskan perkara ini kepada Jakim setelah dipanggil oleh pihak Jakim. Minta bantuan perjelaskan kerana dia sedang menyebarkan hal ini kepada keluarga kami...
 
 
PENJELASAN:
 
Ajaran Makrifat yang dibawa oleh Shaari Mohd Yusof, anak kepada Yusof Che Wook yang berasal dari  Tanah Merah Kelantan antaranya melalui buku Ilmu Makrifat dan juga Khasyaf al-Haq Mengenal Allah, mempunyai beberapa keraguan. 
 
Walaupun asal ajarannya mungkin berasal dari ajaran ulama-ulama berwibawa seperti Tok Kenali, namun cara penjelasannya mengelirukan. En Shaari sendiri pernah dipanggil oleh Panel Pakar Akidah JAKIM dan dalam dialog yang dijalankan didapati beliau sendiri tidak mempunyai latarbelakang agama dan tidak mempunyai penguasaan al-Qur'an dan Bahasa Arab. 
 
Dalam kajian yang dibuat oleh Jawatankuasa Penapisan Bahan Penerbitan Berunsur Islam, JAKIM, antara kekeliruan yang dapati dalam huraian pengajarannya melalui buku-buku tersebut ialah:
 
1. Penyebaran Faham Pluralisme Agama
2. Kejadian manusia dari zat Allah
3. Mentafsir al-Qur'an dan hadi mengikut logik akal
4. Huraian faham wahdatul Wujud dan Nur Muhammad dengan cara yang mengelirukan
5. Menafikan sifat Allah
6. Penggunaan hadis-hadis yang tidak jelas asalnya 
 
Oleh yang demikian buku tersebut seharusnya dielakkan membacanya.
 
Wallahu A'lam

Status Ibadah Sebelum Sertu

$
0
0
ISU:
 
Bagaimanakah status ibadah yang dilakukan sebelum sertu?
(Situasi:Selepas digigit anjing terus ke hospital untuk rawatan.Tidak sertu disebabkan luka masih berdarah dan selepas luka kering barulah disertu).
 
 
PENJELASAN:
 
Solat yang dilakukan tanpa taharah yang sempurna adalah solat yang tidak sah. Bagi kes yang ditimbulkan, selepas digigit anjing, sepatutnya disertu/samak terlebih dahulu tempat yang terkena gigitan iaitu dibasuh dengan air bercampur tanah dan kemudian dibasuh dengan air mutlak sebanyak enam kali.
 
Jika luka itu masih berdarah dan kemudian Doktor membersihkannya tanpa menepati syarat sertu/samak, dan pada ketika itu terhalang pesakit daripada melakukan sertu/samak kerana luka masih berdarah, atau luka itu telah dibalut, kemudian masuk waktu solat. Maka pesakit itu perlu berwuduk, namun jika luka itu terkena pada bahagian anggota wuduk, maka pesakit itu perlu melakukan tayammum dan kemudian solat. Kaedah ini perlu dilakukan setiap kali mahu bersembahyang, sehinggalah luka itu kering dan boleh melakukan sertu ke atas anggota yang digigit anjing tersebut. Maka pesakit itu perlu melakukan sertu, kemudian mengambil wuduk dan perlu mengqada’kan semua solat yang telah dilakukan. Ini disebabkan solat yang telah dilakukan sebelum sertu itu tidak sempurna syarat taharahnya.
 
Wallahua’lam
 
 

Kaedah Membersihkan Harta Haram

$
0
0
 
ISU:
 
Bagaimanakah wang dari sumber haram  dapat diinfaqkan? Siapakah yang boleh menerima wang tersebut?
 
PENJELASAN:
 
Wang yang diperoleh secara haram boleh dibahagikan kepada dua kategori, dan kaedah pembersihan juga adalah berbeza, iaitu:
 
1) Harta haram yang diperolehi tanpa kerelaan pemiliknya
 
Contoh harta haram dalam kategori ini ialah hasil curian, rompakan, rampasan, pengkhianatan dan penipuan dalam perniagaan. Perolehan harta melalui jalan-jalan tersebut adalah tidak diiktiraf oleh syarak, justeru pemilikannya terhadap harta tersebut adalah tidak sah.
 
Kaedah mengendalikan pengurusan harta haram dalam kategori ini ialah dengan menyerahkannya kembali kepada pemilik asal. Ia adalah kaedah yang diarahkan oleh syarak dan disepakati oleh fuqaha.
 
Antara dalil kewajipan menyerahkan kembali harta tersebut kepada pemiliknya ialah:
 
منْ كَانَتْ لَهُ مَظْلَمَةٌ لِأَخِيهِ مِنْ عِرْضِهِ أَوْ شَيْءٍ، فَلْيَتَحَلَّلْهُ مِنْهُ اليَوْمَ، قَبْلَ أَنْ لاَ يَكُونَ دِينَارٌ وَلاَ دِرْهَمٌ
Maksudnya: “Sesiapa yang mempunyai sebarang kezaliman terhadap saudaranya pada maruahnya atau sesuatu, maka hendaklah meminta halal daripadanya pada hari ini, sebelum datang hari yang tiada guna lagi dinar dan dirham” (al-Bukhārī, Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, 1422H, Dār Ṭawq al-Najāh, 3:129 (No: 2449).
 
Kewajipan menyerahkan kembali harta haram kepada pemiliknya dalam kategori ini adalah disepakati oleh ulama. Ini sebagaimana nukilan ijmak oleh sebahagian fuqaha.
 
Ibn Qudāmah menyatakan, “Sesiapa merampas sesuatu, maka dia wajib memulangkannya balik selagi mana ia masih kekal, tanpa ada khilaf yang kami ketahui” (Ibn Qudāmah, Al-Mughnī, 1388H, 5:177.).
 
2) Harta haram yang diperolehi dengan kerelaan pemiliknya.
 
Contoh harta haram yang diperoleh dengan kerelaan pemiliknya, ialah harta yang diperoleh melalui aktiviti perjudian, perniagaan haram, pelacuran dan seumpamanya.
 
Harta haram tersebut hendaklah disalurkan kepada mana-mana saluran berikut:
 
1) Disalurkan kepada maslahah umum.
 
Pembersihan harta haram dengan cara menyalurkan kepada maslahah umum disebut oleh ramai fuqaha. Antaranya Imam al-Ghazālī menyebut, “Manakala jika harta haram itu dimiliki oleh pemilik yang dia tidak ketahui dan tidak mampu untuk mengetahuinya, maka hendaklah diserahkan kepada maslahah umum orang Islam seperti pembinaan jambatan, kubu, masjid, kemaslahatan jalan ke Makkah, dan lain-lain yang dikongsi bersama penggunaannya oleh orang-orang Islam” (al-Nawawī, Al-Majmūʿ Sharḥ al-Muhadhdhab, 9:351).
 
Ia juga dinisbahkan kepada pandangan majoriti ulama sebagaimana Ibn Taimiyyah menyebut, “Jika harta-harta diambil tanpa hak dan tidak dapat dikembalikan kepada pemilik-pemiliknya seperti kebanyakan harta-harta pemerintah, maka membantu dalam menyerahkan harta tersebut kepada maslahah orang Islam seperti pembinaan kubu, pembiayaan tentera dan seumpamanya adalah termasuk dalam membantu dalam kebaikan dan taqwa. Ini adalah pandangan majoriti ulama seperti Mālik, Abū Ḥanīfah, dan Ahmad. Ia juga dinukilkan dari beberapa orang sahabat, dan hujah-hujah syarak menyokongnya (Ibn Taymiyyah, Al-Siyāsah al-Sharʿiyyah, 1418H, 40).
 
2) Disalurkan kepada sedekah, iaitu disalurkan kepada golongan fakir dan miskin.
 
Cara kedua mengendalikan urusan pembersihan harta haram ialah dengan cara menyalurkan dalam bentuk sedekah. Kaedah ini dinukilkan dari ramai salaf dan ulama, antaranya:
 
عَنْ مَالِكِ بْنِ دِينَارٍ قَالَ : قَالَ رَجُلٌ لِعَطَاءِ بْنِ أَبِي رَبَاحٍ : رَجُلٌ أَصَابَ مَالًا مِنْ حَرَامٍ , قَالَ : لِيَرُدَّهُ عَلَى أَهْلِهِ , فَإِنْ لَمْ يَعْرِفْ أَهْلَهُ فَلْيَتَصَدَّقْ بِهِ , وَلَا أَدْرِي يُنْجِيهِ ذَلِكَ مِنْ إثْمِه
Dari Mālik ibn Dīnār, katanya bahawa ʿAṭā’ ibn Abī Rabāh ditanya oleh seorang lelaki tentang seseorang yang memperoleh harta daripada suatu yang haram, lalu jawabnya “Hendaklah dia kembalikan kepada tuannya, dan jika tidak mengetahui tuannya hendaklah dia bersedekah dengannya. Dan aku tidak tahu adakah tindakan itu menyelamatkannya daripada dosanya atau tidak” (Ibn Abī Shaybah, al-Muṣannaf, 1409H, 4:561 (no: 23133).
 
Malahan sebahagian ulama berpendapat hanya saluran sedekah sahaja yang boleh digunakan dalam menyalurkan harta haram sebagaimana tulisan Al-Tawātī yang menukilkan pandangan mazhab Maliki dengan katanya, “Jalan penyelesaian hartanya jika tidak dapat dikembalikan kepada pemiliknya ialah saluran sedekah kepada fakir, dan tiada saluran lain” (Al-Tawātī, Marjiʿ al-Mushkilāt, 107).
 
Wallahu A’lam.
 
 

Mencetak Huruf Hija’iyah

$
0
0
 
ISU:
 
Saya  peniaga yang menjahit pakaian .Saya ingin membuat telekung kanak  dari umur setahun ke atas. Bolehkah saya menjahit atau mencetak huruf hijaiyyah pada telekung, beg dan sejadah. Saya berniat agar pendidikan awal dapat dilaksanakan setiap masa.
 
 
PENJELASAN:
 
Huruf hijaiyyah merupakan huruf-huruf yang membentuk bahasa Arab apabila ia dicantumkan. Ia mempunyai 29 huruf.  Ia juga boleh digunakan dalam penulisan Jawi. 
 
Dalam Islam, perkara haram dan harus telah jelas dalam perundangan Islam.  Di antara perkara haram dan harus ada perkara yang samar.  Jika seorang Muslim meninggalkan perkara samar berkenaan maka ia dapat menyelamatkan dirinya daripada terjerumus dalam perbuatan dosa. Ada perkara yang tidak disebut hukum maka ia termasuk sebagai rahmat kepada manusia.
 
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abi Tha’labah al-Khusiani iaitu Jurthum bin Nasyir r.a. daripada Rasulullah SAW sabdanya, yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT telah memfardhukan beberapa kefardhuan maka janganlah kamu mensia-siakannya, menetapkan batas-batas maka janganlah kamu melampauinya, mengharamkan beberapa perkara maka janganlah kamu menghampirinya dan diam (tidak menyebutkan hukum) beberapa perkara sebagai satu rahmat kepada kamu serta bukan kerana lupa maka janganlah kamu mencari-carinya”. (Sunan ad-Dar Quthni, Sunan al-Baihaqi).
 
Asal sesuatu perkara adalah harus dilakukan.  Ini bertepatan dengan kaedah fiqh Imam Syafei. Berdasarkan kepada ayat al-Quran dan hadis, Imam Syafie membuat kesimpulan dengan mengeluarkan kaedah fiqh yang berbunyi:
 
“Asal bagi segala perkara adalah harus sehingga terdapat dalil yang menunjukkan kepada tidak harus”.
 
Dalam isu mencetak huruf hijaiyyah pada telekung, beg dan sejadah, maka di situ huruf-huruf ini bukan membentuk ayat al-Quran yang boleh mendedahkan kepada penghinaan kepada ayat-ayat suci al-Quran apabila dicetak kepada pelbagai bentuk peralatan dan pakaian.
 
Lagi pun niat mencetak huruf hijaiyyah itu adalah untuk memberi pengajaran kepada anak-anak untuk mengenal huruf hijaiyyah dan seumpamanya.  Ini merupakan satu bentuk pendidikan tidak langsung, yang boleh mengenalkan kanak-kanak kepada huruf hijaiyyah dan seterusnya membuka ruang untuk mereka mengenal Al-Quran, bahasa Arab bahkan mengenal Jawi.
 
Namun sekiranya huruf hija’iyyah tersebut disusun sehingga membentuk ayat-ayat yang menyamai al-Qur’an atau hadis, maka ia tidak diharuskan kerana dibimbangi beg, sejadah dan telekong tersebut akan diletakkan di tempat-tempat yang tidak sesuai.
 
Wallahu A'lam
 
 
 
Viewing all 67 articles
Browse latest View live