ISU:
1) Dalam link www.e-fatwa.gov.my/fatwa-negeri/anak-tak-sah-taraf-1. Apa yang dimaksudkn dengan anak yang lahir kurang daripada 6 bulan melalui nikah yang sah, nasabnya tidak bersambung kepada suami kepada ibu yang melahirkan?.....adakah anak tersebut dikira sebagai bukan anak lelaki tersebut?...jadi jika lelaki tersebut tidak kahwin dengan perempuan yang melahirkan itu, adakah halal jika lelaki tersebut berkahwin dengan anak luar nikahnya itu walaupun telah terbukti anak luar nikah itu adalah anak kandungnya melalui ujian DNA?
2) Apabila seorang lelaki dan perempuan berzina sehingga perempuan tersebut melahirkan anak dari lelaki tersebut. Adakah lelaki tersebut tidak berdosa apabila tidak memberi nafkah kepada anak luar nikahnya? Sedangkan anak tersebut telah terbukti anak kandungnya melalui ujian DNA.
3) Jika sebuah keluarga kafir dan mempunyai anak dan beberapa tahun kemudian mereka memeluk agama Islam sekeluarga, adakah anak yang mereka miliki itu tidak dikira sebagai anak kepada bapa kandungnya? Kerana mungkin perkahwinan ibubapanya semasa mereka masih kafir adalah tidak sah disisi agama Islam.
4) Tidakkah fatwa di www.e-fatwa.gov.my/fatwa-negeri/anak-tak-sah-taraf-1 telah menghalalkan yang haram kerana menyatakan anak luar nikah tersebut bukanlah nasab lelaki tersebut, dengan itu mestilah halal bagi lelaki tersebut berkahwin dengan anak kandungnya yang telah terbukti melalui ujian DNA hanya kerana anak tersebut adalah anak luar nikah.
PENJELASAN:
Isu 1:
Bapa biologi bermaksud, seorang lelaki yang berzina dengan seorang perempuan dan kemudian perempuan itu mengandung hasil perbuatan zina tersebut, Walaupun terbukti secara DNA anak itu mempunyai baka dengan lelaki tersebut, namun dia bukan bapa yang sah menurut hukum Syarak. Oleh itu, anak tersebut tidak boleh di’bin’ atau ‘binti’kan kepada lelaki (bapa biologi) itu. Bapa biologi bukan bapa yang sah, maka jika lelaki itu berkahwin dengan ibu kepada anak luar nikahnya itu, maka hubungan lelaki itu dengan anak tersebut adalah bapa tiri. Tetapi jika selepas berzina, lelaki dan perempuan itu tidak berkahwin, maka tiada hubungan mahram antara lelaki tersebut dengan anak luar nikahnya. Maka tiada halangan daripada Syarak untuk mereka berkahwin.
Penjelasan:
Firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat 5, "Panggillah anak-anak angkat itu dengan ber"bin"kan kepada bapa-bapa mereka sendiri. Cara itulah yang lebih adil di sisi Allah. Dalam pada itu, jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggillah mereka sebagai saudara-saudara kamu yang seagama dan sebagai "maula-maula" kamu. Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah Allah maha pengampun, lagi maha mengasihani." Ayat ini secara jelas menyatakan tentang kepentingan nasab dalam Islam.
Nasab merupakan salah satu nikmat yang Allah kurniakan hasil daripada hubungan perkahwinan yang disyariatkan. Nikmat nasab adalah berdasarkan ketaatan, bukan atas dasar maksiat. Oleh itu, nasab tidak layak diberikan kerana zina (al-Syafi'i, Muhammad bin Idris, Ahkam al-Qur'an, sunt. 'Abd al-Ghani 'Abd al-Khaliq, Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyah, 1980, jil. 2, hlm. 189).
Para ulama sepakat (ijma') mengatakan bahawa penasaban anak tak sah taraf kepada ibunya adalah penasaban yang diakui Syarak (Lihat: Ibn Nujaym, al-Bahr al-ra'iq, jil. 4, hlm. 251; Ibn 'Abd al-Bar, Yusuf bin 'Abd Allah bin Muhammad al-Qurtubi, al-Istizkar, Dimashq: Dar Qutaibah, 1993, jil. 17, hlm. 231; al-Baji, Sulayman bin Khalaf bin Sa'ad bin Ayyub, al-Muntaqa syarh al-muwatta', sunt. Muhammad 'Abd al-Qadir 'Ata, Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyah, 1999, jil. 5, hlm. 342; al-Nawawi, al-Majmu', jil. 19, hlm. 199; al-Sayyid al-Bakri, Abu Bakr, I'anah al-tolibin, Beirut: Dar al-Turath al-'Arabi, t.th., jil. 2, hlm. 128; Ibn Hazm, Abu Muhammad 'Ali bin Ahmad bin Sa'id al-Zohiri, al-Muhalla syarh al-mujalla, sunt. Ahmad Muhammad Syakir, Beirut: Dar Ihya' al-Turath al-'Arabi, 2001, jil. 10, hlm. 323; Husayn, Ahkam walad al-zina, hlm. 59)
Manakala penasaban anak tak sah taraf kepada lelaki yang berzina dengan ibu anak itu adalah dilarang. A'isyah melaporkan, Nabi saw bersabda: "Nasab anak itu adalah untuk bapa yang sah, manakala penzina dihalang daripada dinasabkan anak kepadanya." Hadis direkod oleh Imam al-Bukhari. Hadis dengan jelas menyatakan bahawa nasab anak hanyalah untuk bapa; iaitu lelaki yang bernikah secara sah dengan ibu anak tersebut dan anak itu adalah hasil percantuman benih antara pasangan tersebut. Manakala Nabi menyatakan, penzina dihalang daripada dinasabkan anak kepadanya (Lihat: Ibn Muflih, Abu 'Abd Allah Muhammad, al-Furu', Beirut: 'Alam al-Kutub, 1985, jil. 5, hlm. 526; al-Jassas, Abu Bakr Ahmad bin 'Ali al-Razi, Ahkam al-Qur'an, sunt. 'Abd al-Salam Syahin, Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyah, 1994, jil. 3, hlm. 396; Husayn, Ahkam walad al-zina, hlm. 65-66).
Imam al-Syafi’i menjelaskan dalam kitab ‘al-Umm’, “Jika seseorang lelaki berzina dengan seorang perempuan, lalu perempuan itu melahirkan anak perempuan, maka lelaki itu boleh berkahwin; sama ada dengan perempuan itu atau anak perempuannya. Kerana Allah menjadikan hubungan mahram itu berasaskan perkahwinan yang halal.”
Isu 2:
Bapa biologi tidak wajib memberikan nafkah kepada anak luar nikahnya, kerana dia bukan bapa yang sah. Oleh kerana, anak luar nikah dinasabkan kepada ibunya, maka ibu yang bertanggungjawab memberik nafkah kepada anak tersebut.
Isu 3:
Pasangan bukan Islam yang telah berkahwin serta mereka mempunyai anak, kemudian mereka sekeluarga memeluk Islam, maka perkahwinan yang dilakukan dalam agama asal mereka itu diiktiraf oleh Islam dan anak mereka adalah anak yang sah. Ini dibuktikan dengan tindakan Nabi Muhammad saw, bahawa baginda tidak pernah mengarahkan pasangan bukan Islam yang baru menganut Islam untuk bernikah semula dalam agama Islam. Seperti keislaman Saidina Abu Bakar dan Umar, di mana Nabi Muhammad saw tidak mengarahkan mereka untuk bernikah semula dan anak yang mereka perolehi sebelum mereka Islam adakah diakui anak yang sah. Ini sekiranya perkahwinan yang dilakukan dalam agama asal itu menepati syarat perkahwinan dalam agama tersebut.
Namun, sekiranya dibuktikan bahawa anak yang diperolehi oleh pasangan bukan Islam yang kemudiannya masuk Islam, adalah anak hasil zina, maka Nabi Muhammad saw tidak mengiktiraf nasab anak tersebut kepada bapa biologinya. Ini merujuk kepada hadis:
Abdullah bin 'Amr bin al-'As melaporkan, "Semasa berlaku pembukaan kota Mekah pada zaman Rasulullah saw, datang seorang lelaki seraya berkata, 'Sesungguhnya si fulan itu anak aku kerana semasa jahiliyah dahulu aku telah berzina dengan ibunya.' Lalu Rasulullah saw bersabda, 'Tiada hujah dalam Islam apa yang telah berlaku pada zaman jahiliyah. Nasab anak adalah untuk bapanya yang sah, manakala bagi penzina, dihalang daripada dinasabkan anak kepadanya.'" Hadis hasan sahih direkod oleh Imam Abu Daud
Isu 4:
Hukum dan fatwa berkaitan hubungan bapa biologi dengan anak luar nikahnya sebagai bukan mahram dan boleh berkahwin, tidak termasuk dalam hukum menghalalkan yang haram. Abdullah bin 'Amr bin al-'As melaporkan, "Semasa berlaku pembukaan kota Mekah pada zaman Rasulullah saw, datang seorang lelaki seraya berkata, 'Sesungguhnya si fulan itu anak aku kerana semasa jahiliyah dahulu aku telah berzina dengan ibunya.' Lalu Rasulullah saw bersabda, 'Tiada hujah dalam Islam apa yang telah berlaku pada zaman jahiliyah. Nasab anak adalah untuk bapanya yang sah, manakala bagi penzina, dihalang daripada dinasabkan anak kepadanya.'" Hadis hasan sahih direkod oleh Imam Abu Daud.
Berpandukan kepada hadis ini, Nabi Muhammad saw tidak mengiktiraf anak luar nikah itu sebagai anak lelaki yang mendakwa tersebut. Walaupun lelaki itu mengaku dia yang menyebabkan kelahiran anak tersebut. Apabila Nabi Muhammad saw tidak mengiktiraf lelaki itu sebagai bapa yang sah, sekiranya anak luar nikah itu adalah anak perempuan, maka hubungan lelaki itu dengan anak perempuan itu adalah bukan mahram.
Kesimpulannya, hubungan mahram (haram berkahwin) kerana keturunan tidak wujud sekiranya kelahiran anak atas dasar perzinaan.
Wallahua'lam.