Quantcast
Channel: Portal Rasmi Fatwa Malaysia blogs
Viewing all articles
Browse latest Browse all 67

Penamaan Anak Tak Sah Taraf dan Hubungan Mahram

$
0
0
ISU:
 
1) Apa yang perlu anak luar nikah lakukan jika dia di bin/binti kan dengan nama bapa yang menyebabkan kehamilan ibu nya.
2) Jika anak luar nikah tersebut perempuan dan ingin berkawin bagaimana nya?. Jika di dalam kad pengenalan di binti kan dengan nama bapa menyebabkan kehamilan, perlu ke anak tersebut membuat pertukaran nama?.
3) Hubungan anak tersebut dengan bapa penzina dan adik beradik yang lain bagaimana?.
harap kerjasama dari pihak tuan.
 
PENJELASAN:

 
1) Seseorang yang mengetahui bahawa dia telah di ‘bin’ atau ‘binti’kan kepada lelaki yang berzina dengan ibunya, maka dia perlu menukar nama dengan di ‘bin’ atau ‘binti’kan kepada Abdullah.
 
Penjelasan:

Firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat 5, "Panggillah anak-anak angkat itu dengan ber"bin"kan kepada bapa-bapa mereka sendiri. Cara itulah yang lebih adil di sisi Allah. Dalam pada itu, jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggillah mereka sebagai saudara-saudara kamu yang seagama dan sebagai "maula-maula" kamu. Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah Allah maha pengampun, lagi maha mengasihani." Ayat ini secara jelas menyatakan tentang kepentingan nasab dalam Islam.

Nasab merupakan salah satu nikmat yang Allah kurniakan hasil daripada hubungan perkahwinan yang disyariatkan. Nikmat nasab adalah berdasarkan ketaatan, bukan atas dasar maksiat. Oleh itu, nasab tidak layak diberikan kerana zina (al-Syafi'i, Muhammad bin Idris, Ahkam al-Qur'an, sunt. 'Abd al-Ghani 'Abd al-Khaliq, Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyah, 1980, jil. 2, hlm. 189).

Para ulama sepakat (ijma') mengatakan bahawa penasaban anak tak sah taraf kepada ibunya adalah penasaban yang diakui Syarak (Lihat: Ibn Nujaym, al-Bahr al-ra'iq, jil. 4, hlm. 251; Ibn 'Abd al-Bar, Yusuf bin 'Abd Allah bin Muhammad al-Qurtubi, al-Istizkar, Dimashq: Dar Qutaibah, 1993, jil. 17, hlm. 231; al-Baji, Sulayman bin Khalaf bin Sa'ad bin Ayyub, al-Muntaqa syarh al-muwatta', sunt. Muhammad 'Abd al-Qadir 'Ata, Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyah, 1999, jil. 5, hlm. 342; al-Nawawi, al-Majmu', jil. 19, hlm. 199; al-Sayyid al-Bakri, Abu Bakr, I'anah al-tolibin, Beirut: Dar al-Turath al-'Arabi, t.th., jil. 2, hlm. 128; Ibn Hazm, Abu Muhammad 'Ali bin Ahmad bin Sa'id al-Zohiri, al-Muhalla syarh al-mujalla, sunt. Ahmad Muhammad Syakir, Beirut: Dar Ihya' al-Turath al-'Arabi, 2001, jil. 10, hlm. 323; Husayn, Ahkam walad al-zina, hlm. 59)

Manakala penasaban anak tak sah taraf kepada lelaki yang berzina dengan ibu anak itu adalah dilarang. A'isyah melaporkan, Nabi saw bersabda: "Nasab anak itu adalah untuk bapa yang sah, manakala penzina dihalang daripada dinasabkan anak kepadanya." Hadis direkod oleh Imam al-Bukhari. Hadis dengan jelas menyatakan bahawa nasab anak hanyalah untuk bapa; iaitu lelaki yang bernikah secara sah dengan ibu anak tersebut dan anak itu adalah hasil percantuman benih antara pasangan tersebut. Manakala Nabi menyatakan, penzina dihalang daripada dinasabkan anak kepadanya (Lihat: Ibn Muflih, Abu 'Abd Allah Muhammad, al-Furu', Beirut: 'Alam al-Kutub, 1985, jil. 5, hlm. 526; al-Jassas, Abu Bakr Ahmad bin 'Ali al-Razi, Ahkam al-Qur'an, sunt. 'Abd al-Salam Syahin, Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyah, 1994, jil. 3, hlm. 396; Husayn, Ahkam walad al-zina, hlm. 65-66).

Oleh itu, Muzakarah Fatwa Kebangsaan Malaysia menetapkan bahawa anak tak sah taraf perlu di'bin' atau 'binti'kan kepada Abdullah. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-1 yang bersidang pada 28 - 29 Jan 1981 telah membincangkan Penamaan Anak Tak Sah Taraf (Anak Luar Nikah). Muzakarah telah memutuskan bahawa anak zina atau anak di luar nikah (anak tak sah taraf) sama ada diikuti dengan perkahwinan kedua pasangan ibu bapanya atau tidak, hendaklah dibin atau dibintikan kepada Abdullah.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-57 yang bersidang pada 10 Jun 2003 telah membincangkan mengenai Anak Tak Sah Taraf. Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:

“a. Anak Tak Sah Taraf ialah:

Anak yang dilahirkan di luar nikah; sama ada akibat zina atau rogol dan dia bukan daripada persetubuhan syubhah atau bukan daripada anak perhambaan.

Anak dilahirkan kurang dari 6 bulan 2 lahzah (saat) mengikut Takwim Qamariah daripada tarikh tamkin (setubuh).

b. Anak tak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya atau kepada sesiapa yang mengaku menjadi bapa kepada anak tersebut. Oleh itu mereka tidak boleh pusaka mempusakai, tidak menjadi mahram dan tidak boleh menjadi wali.”
 
Sekiranya seseorang individu telah di ‘bin’ atau ‘binti’kan kepada lelaki yang berzina dengan ibunya, maka dia perlu mengubah nama bapa itu kerana Nabi Muhammad saw melarang daripada menasabkan seseorang anak bukan kepada bapanya yang sebenar. Sabda Nabi Muhammad saw, “Sesiapa yang di ‘bin’ atau ‘binti’kan kepada bapanya yang sebenar, sedangkan dia tahu perlara itu, maka diharamkan baginya memasuki syurga.” Hadis sahih direkod oleh Imam al-Bukhari. Selanjutnya sabda Nabi Muhammad saw, “Sesungguhnya pembohongan yang paling besar ialah mem’bin’ atau ‘binti’kan seseorang kepada bukan bapanya yang sebenar.” Hadis sahih direkod oleh Imam al-Bukhari.
 
2- Jika anak luar nikah tersebut perempuan dan ingin berkawin bagaimana nya?. jika di dalam kad pengenalan di binti kan dengan nama bapa menyebabkan kehamilan, perlu ke anak tersebut membuat pertukaran nama?.
 
Jawapan:

Seseorang perempuan yang merupakan anak luar nikah, sekiranya dia ingin berkahwin, maka walinya ialah wali hakim. Jika dia telah di’binti’ kan kepada lelaki yang berzina dengan ibunya, maka dia perlu menukar nama itu sebagaimana jawapan no (1).
 
Penjelasan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-57 yang bersidang pada 10 Jun 2003 telah membincangkan mengenai Anak Tak Sah Taraf. Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:

“a. Anak Tak Sah Taraf ialah:

Anak yang dilahirkan di luar nikah; sama ada akibat zina atau rogol dan dia bukan daripada persetubuhan syubhah atau bukan daripada anak perhambaan.

Anak dilahirkan kurang dari 6 bulan 2 lahzah (saat) mengikut Takwim Qamariah daripada tarikh tamkin (setubuh).

b. Anak tak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya atau kepada sesiapa yang mengaku menjadi bapa kepada anak tersebut. Oleh itu mereka tidak boleh pusaka mempusakai, tidak menjadi mahram dan tidak boleh menjadi wali.”
 
3- Hubungan anak tersebut dengan bapa penzina dan adik beradik yang lain bagaimana?.
 
Jawapan:

Sekiranya lelaki dan perempuan yang berzina telah berkahwin, maka hubungan anak luar nikah itu dengan lelaki tersebut ialah bapa tiri. Bapa tiri dan anak tiri adalah mahram. Manakala hubungan anak luar nikah itu dengan adik beradik yang lain adalah adik beradik seibu, maka mereka adalah mahram.

Wallahua'lam
 

 

Viewing all articles
Browse latest Browse all 67