ISU:
Adik saya (lelaki) bekerja di armenia (sudah 3 tahun di sana), dan dia berkenaan dgn seorang wanita (christian) di sana. Dia hendak mengkahwini wanita tersebut dan dia memegang pada fatwa pihak jakim :
http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-negeri/hukum-perkahwinan-dengan-wanita-ahli-kitab
http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-negeri/hukum-perkahwinan-dengan-wanita-ahli-kitab
Saya telah mensyorkan adik saya supaya mengajak si wanita tersebut memeluk islam tetapi wanita tersebut amat berat hati utk memeluk agama islam atas banyak sebab antara yang utamanya; kena terus memakai hijab, solat, puasa, tak boleh minum arak and consume pork etc...Justeru saya mempunyai beberapa kemusykilan jika si wanita tersebut tidak perlu memeluk agama islam dan perkahwinan ini dibolehkan oleh syarak..;
1. apakah batasan aurat si wanita?
2..confirm dia tidak akan sembahyang, puasa, - apakah ni ok?
3. bagaimana dengan makanan? kalau dia consume arak or benda diharamkan oleh islam;
4. kalau dia hendak ke church?
5, perkahwinan ini mesti di lakukan di malaysia? pejabat agama?
jazakAllah khairr.
PENJELASAN:
1) Perlu dipastikan wanita kristian itu berketurunan Nabi Yaakub atau keturunannya telah beragama Kristian semenjak sebelum Nabi Muhammad diutuskan. Sekiranya syarat ini tidak dipenuhi, maka tidak sah berkahwin dengan wanita kristian itu.
2) Sekiranya syarat pertama tersebut telah dipenuhi, maka sah berkahwin dengan wanita itu dengan syarat dia rela hidup bersama dengan suaminya yang beragama Islam mengikut cara hidup Islam, walaupun wanita itu masih beragama Kristian. Dalam isu yang ditimbulkan, wanita itu awal-awal lagi sudah meletakkan syarat bahawa dia mahu hidup bebas untuk minum arak dan makan makanan haram. Maka wanita itu haram dikahwini kerana ia akan mempengaruhi cara hidup suaminya.
3) Sekiranya syarat pertama dan kedua dipenuhi, maka perkahwinan tersebut mestilah mengikut prosedur yang boleh dirujuk kepada pegawai JAKIM di Kedutaan Malaysia Negara tersebut.
Islam memperuntukkan, wanita yang hendak dikahwini oleh seseorang lelaki perlu memenuhi syarat tertentu. Begitu juga lelaki yang bakal menjadi suami kepada seseorang wanita Muslimah perlu memenuhi syarat tertentu. Antara syarat tersebut ialah, wanita yang hendak dikahwini oleh seseorang lelaki Muslim hendaklah beragama Islam atau ahli kitab (Kitabiyah) dan lelaki yang hendak dikahwini oleh seseorang wanita Muslimah hendaklah beragama Islam.
Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984, dalam Seksyen 10 memperuntukkan: "(1) Tiada seseorang lelaki boleh berkahwin dengan seseorang bukan Islam kecuali seorang Kitabiyah. (2) Tiada seseorang perempuan boleh berkahwin dengan seseorang bukan Islam."
Syarat yang diperuntukkan bagi lelaki adalah jelas iaitu beliau mestilah seorang Muslim. Jika beliau bukan Islam; sama ada beragama Yahudi, Kristian atau lain-lain, maka beliau tidak boleh berkahwin dengan wanita Muslimah, kecuali selepas lelaki itu menganut agama Islam. Hukum ini ditegaskan oleh Allah dalam Al-Quran; surah al-Baqarah ayat 221, "…Dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan-perempuan Islam) dengan lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk agama Islam). Sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Yang demikian adalah kerana orang-orang kafir itu mengajak ke neraka, sedang Allah mengajak ke syurga dan memberi keampunan dengan izinNya…"
Syarat yang diperuntukkan bagi wanita yang hendak dikahwini pula, beliau mestilah sama ada seorang Muslimah atau ahli kitab. Manakala wanita-wanita yang selain Islam dan ahli kitab, maka mereka dilarang daripada dikahwini oleh seseorang lelaki Muslim. Hukum ini ditegaskan oleh Allah dalam Al-Quran; surah al-Baqarah ayat 221, "Dan janganlah kami berkahwin dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk agama Islam). Sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik; sekalipun keadaannya menarik hati kamu…"
Islam membenarkan seorang lelaki Muslim berkahwin dengan seorang wanita ahli kitab; Yahudi atau Kristian, tanpa wanita itu perlu menganut agama Islam. Hukum ini merujuk kepada firman Allah dalam Al-Quran; surah al-Ma'idah ayat 5, yang bermaksud, "Pada masa ini, dihalalkan bagi kamu makan makanan yang lazat-lazat serta baik-baik. Dan makanan sembelihan orang-orang yang diberikan Kitab (Yahudi dan Kristian) itu adalah halal bagi kamu dan makanan sembelihan kamu adalah halal bagi mereka iaitu tidak salah kamu memberi makan kepada mereka. Dan dihalalkan kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya daripada kalangan perempuan-perempuan yang beriman dan juga perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya daripada kalangan orang-orang yang diberikan Kitab dahulu daripada kamu (Yahudi dan Kristian) apabila kamu beri mereka maskahwinnya. Dengan cara yang demikian, kamu bernikah bukan berzina dan bukan pula kamu mengambil mereka menjai perempuan-perempuan simpanan…"
Ayat tersebut secara jelas membenarkan seorang lelaki Muslim berkahwin dengan wanita ahli kitab, tanpa perlu wanita itu menganut agama Islam. Majoriti pakar perundangan Islam sepakat tentang hukum tersebut, kecuali beberapa orang pakar daripada kalangan sahabat Nabi Muhammad seperti Abdullah bin Umar dan beberapa orang pakar lain. Namun mereka berbeza pendapat bagi mentafsirkan maksud ahli kitab.
Manakala menurut para pakar bermazhab Syafii dan Hanbali, ahli kitab hanya merujuk kepada orang-orang Yahudi dan Kristian sahaja. Oleh itu, mana-mana wanita bukan Islam selain wanita Yahudi dan Kristian (Kitabiyah) tidak boleh dikahwini oleh lelaki Muslim kecuali wanita itu menganut agama Islam.
Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-10 yang bersidang pada 29 Apr 1975 telah membincangkan Pernikahan Dengan Perempuan Kitabiah. Persidangan telah memutuskan bahawa apabila seseorang perempuan bukan Islam memeluk agama Kristian berkahwin dengan lelaki Islam maka nikahnya tidak sah kecuali kafir Kitabi.
Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-14 yang bersidang pada 14 Jul 1977 telah membincangkan Pernikahan dengan Perempuan Kitabiah. Persidangan telah memutuskan bahawa takrif Kafir Kitabi ialah orang Yahudi atau Nasrani:
1) Yang berketurunan Nabi Yaakub a.s., jika tidak diketahui datuk neneknya memeluk agama itu selepas dinasakhkan (dibatalkan) oleh agama yang berikutnya seperti agama Yahudi dinasakhkan oleh agama Nasrani dan agama Nasrani dinasakhkan oleh agama Islam; atau
2) Yang bukan berketurunan Nabi Yaakub a.s., jika diketahui datuk neneknya memeluk agama itu sebelum dinasakhkan.
Hukumnya halal nikah dengan perempuan Kafir Kitabi seperti di atas. Adapun perempuan Yahudi atau Nasrani yang bukan Kitabi seperti yang disebutkan di atas adalah haram.
Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-18 yang bersidang pada 14 May 1980 telah membincangkan Pernikahan Dengan Perempuan Kitabiah. Persidangan telah memutuskan bahawa:
1) Pernikahan orang Islam dengan perempuan Kitabiah (bukan asli) adalah tidak sah mengikut mazhab Shafie.
2) Pernikahan seperti itu (pernikahan orang Islam dengan perempuan Kitabiah bukan asli) yang telah dilakukan pada masa yang lalu harus mengikut pendapat setengah ulama' dengan syarat jika pernikahan itu diakadkan mengikut Islam dan keluarga itu hendaklah hidup secara Islam termasuk pendidikan anak-anak. Jika tidak dilakukan demikian maka perkahwinan itu hendaklah dibatalkan.
3) Pernikahan suami/isteri Kristian kemudian si suami masuk Islam maka pernikahannya dikira sah dengan syarat kehidupannya mengikut cara Islam.
Menurut Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984, Seksyen 2 mentafsirkan, "Kitabiyah ialah (a) seorang perempuan dari keturunan Bani Ya'qub; atau (b) seorang perempuan Nasrani dari keturunan orang Nasrani sebelum Nabi Muhammad menjadi Rasul; atau (c) seorang perempuan Yahudi dari keturunan orang Yahudi sebelum Nabi Isa menjadi Rasul."
Berdasarkan tafsiran-tafsiran tersebut, tidak semua wanita Yahudi dan Kristian boleh dikahwini oleh lelaki Muslim. Walaupun Islam membenarkan lelaki Muslim berkahwin dengan segolongan wanita ahli kitab, namun pada dasarnya lelaki Muslim mestilah mengutamakan untuk mengahwini wanita Muslimah. Tambahan pula di zaman kita sekarang, masih ramai lagi wanita Muslimah yang masih belum berkahwin.
Ketika Saidina Umar menjadi pemimpin Negara Islam, beliau pernah mengeluarkan arahan agar lelaki Muslim dilarang daripada berkahwin dengan wanita ahli kitab. Arahan beliau itu bertujuan untuk menjaga kepentingan wanita Muslimah. Namun, beliau mengizinkan lelaki Muslim berkahwin dengan wanita ahli kitab (Kitabiyah) sekiranya dengan perkahwinan itu, kepentingan yang lebih besar dapat dijamin. (lihat: Abu Zahrah, al-Ahwal asy-Syakhsiyah, Mesir: Darul Fikr 'Arabi, hlm. 100)
Syeikh Abu Zahrah menegaskan, walaupun seorang lelaki Muslim dibenarkan berkahwin dengan wanita Kitabiyah, namun apabila suami itu meninggal dunia dan isterinya itu masih belum menganut agama Islam, maka isteri tidak layak mewarisi harta suami. Ini disebabkan antara syarat kelayakan menerima harta pusaka ialah ahli waris mestilah seorang yang beragama Islam. Di samping itu, anak-anak mereka secara automatik ketika lahirnya menjadi seorang yang beragama Islam dan tidak dibenarkan untuk mengikut agama ibunya; sama ada Yahudi atau Kristian (Abu Zahrah, al-Ahwal asy-Syakhsiyah, hlm. 100).
Wallahua'lam