Quantcast
Channel: Portal Rasmi Fatwa Malaysia blogs
Viewing all articles
Browse latest Browse all 67

Talak Taklik

$
0
0
ISU:

Seorang suami menyatakan taklik kepada isterinya: "mulai pada hari ini, jika aku mengulanginya lagi (mengambil dadah) maka jatuhlah talak satu ke atas dikau." Perkara ini dilafazkan oleh si suami setelah si isteri mengugut untuk tidak akan berbaik lagi dengannya sekiranya si suami tidak meninggalkan tabiat buruk beliau. Namun si suami kadang-kadang masih lagi dengan tabiat buruknya. Adakah terjatuhnya talak ke atas isterinya itu.

PENJELASAN:


Talak merupakan perbuatan yang dibenci oleh Allah SWT. Sabda Nabi Muhammad saw, "Perkara halal yang paling dibenci Allah adalah talak." Talak tidak mendatangkan dosa jika ia dilakukan mengikut garis panduan yang dinyatakan dalam Islam.

Isu yang dibangkitkan adalah berkaitan dengan talak taklik, iaitu talak yang dihubungkan dengan sesuatu syarat. Jika berlaku syarat yang dinyatakan dalam lafaz talak, maka talak itu sah dan berkuatkuasa.

Secara umumnya, lafaz taklik yang telah dilafazkan tidak boleh ditarik balik. Cerai taklik bermaksud suami melafazkan lafaz cerai yang dihubungkan dengan sesuatu syarat (Wahbah al-Zuhaili, al-Fiqh al-Islami, jil. 7, hlm. 444; Abdul Karim Zaidan, al-Mufassal fi ahkam al-mar'ah, jil. 7, hlm. 471).

Cerai taklik dibahagikan kepada dua jenis:
Pertama cerai taklik yang dinyatakan syarat tanpa mengandungi maksud sumpah, seperti suami berkata kepada isterinya, "Jika aku tinggalkan isteriku selama lima bulan berturut-turut tanpa sebarang nafkah, isteriku tercerai."

Kedua, cerai taklik yang mengandungi maksud sumpah, seperti suami berkata, "Jika aku tipu engkau, isteriku aku cerai."

Jenis cerai yang pertama, syarat yang dinyatakan dalam cerai taklik adalah berkuatkuasa selama mana syarat itu bukan sesuatu yang mustahil berlaku. Jika sesuatu yang disyaratkan itu berlaku, maka jatuhlah talak. Namun, bagi jenis kedua, taklik itu tidak memberikan kesan, walaupun syarat yang dinyatakan itu berlaku, namun isterinya tidak tercerai (al-Nawawi, al-Majmu', jil. 16, hlm. 152-153, 212). Jika suami telah melafazkan lafaz taklik iaitu "mulai pada hari ini, jika aku mengulanginya lagi (mengambil dadah) maka jatuhlah talak satu ke atas dikau", maka apabila suami mengambil dadah selepas itu, maka telah berkuatkuasa syarat yang dinyatakan dalam lafaz taklik tersebut. Maka jatuh talak raj'i (talak satu) berkuatkuasa pada masa suami mengambil dadah.

Namun perkara ini perlu dirujuk kepada Pejabat Agama Daerah terdekat untuk mendapatkan pengesahan daripada Mahkamah Syariah.

Wallahu a'lam


Viewing all articles
Browse latest Browse all 67